Sabtu, 14 September 2019 | 8:26pm
Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 bersama Menteri Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Wawasan Kemakmuran Bersama: Struktur semula ekonomi

KUALA LUMPUR: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menyifatkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berdasarkan ekonomi yang terus berkembang dengan rancak dan mampan.

Kementerian itu dalam kenyataannya berkata, matlamat wawasan itu untuk menyediakan taraf hidup yang makmur kepada semua rakyat menjelang 2030 dengan komitmen berkenaan akan menyuburkan perpaduan dalam kalangan rakyat, selain mengukuhkan kestabilan politik.

Untuk mencapai matlamat ini, katanya, ekonomi Malaysia akan distruktur semula ke arah lebih progresif berpaksikan penggunaan teknologi tinggi, inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi membentang kertas Wawasan Kemakmuran Bersama yang mengakui keperluan untuk menstruktur semula dasar ekonomi semasa bagi menghasilkan kemakmuran untuk semua serta menangani cabaran global.

“Jemaah Menteri yang bersidang menimbang dan bersetuju menerima wawasan ini sebagai dasar baharu yang memacu pertumbuhan yang mampan, berteknologi tinggi, inklusif dan menjamin pengagihan yang adil dan saksama bagi merapatkan kesenjangan sosioekonomi.

“Justeru, kerajaan yakin penterjemahan Wawasan Kemakmuran Bersama akan melonjakkan Malaysia sebagai paksi ekonomi serantau,” katanya, di sini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 bersama Menteri Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya.

Kementerian itu turut berkata, tumpuan akan diberikan kepada sumber pertumbuhan baharu yang merangkumi ekonomi digital, industri aeroangkasa, pertanian pintar dan perkhidmatan sokongan untuk Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Pada masa sama, katanya, industri sedia ada yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi akan diberi suntikan baharu.

“Keindahan kemakmuran bersama akan menyerlah apabila jurang ekonomi di antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan dirapatkan dalam konteks ekonomi yang terus berkembang bagi memastikan nasib semua rakyat terbela dan tiada yang ketinggalan di dalam arus kemajuan negara,” katanya.

Berita Harian X