Ahad, 15 September 2019 | 7:16pm
RINA melawat ruang pameran pada Perasmian Program Komuniti Sejahtera di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa hari ini. - foto BERNAMA

DPLB 2030 diteliti seiring Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030

KUALA LUMPUR: Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 akan diteliti mengikut kesesuaian masa dan keadaan, seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata DPLB yang dilancarkan Jun lalu mengambil kira inisiatif wawasan itu yang memberi fokus untuk merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan kaya dengan miskin serta dalam dan luar bandar.

"KPLB akan mengambil inisiatif ini kerana apabila DPLB 2030 dilancarkan, kita bukan hanya fokus kepada pembangunan infrastruktur fizikal tetapi kita nak bangunkan juga pembangunan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar.

"Berbilion-bilion (ringgit) dibelanjakan selama ini tetapi kenapa masyarakat luar bandar masih miskin? Sebab itu kita nak fokus juga bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi pembangunan masyarakat dari segi ekonomi.

"Kita nak supaya masyarakat luar bandar ini memainkan peranan lebih aktif dan saya yakin kalau mereka diberi motivasi dan inspirasi, mereka juga boleh berjaya," katanya selepas menghadiri Program Komuniti Sejahtera Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa, di sini, hari ini.


RINA bersama pemilik Qeel Choc, Norhasyimah Daud pada program Komuniti Sejahtera 2019 di PPR Perkasa, Kuala Lumpur. - Foto Rohanis Shukri

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Perdana Putra, Putrajaya semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata wawasan itu bukan untuk menjadikan semua orang jutawan tetapi memastikan rakyat merasakan mereka mendapat bahagian yang adil mengikut kategori masing-masing.

DPLB 2030 yang dilancarkan pada 27 Jun lalu, menyediakan kerangka hala tuju pembangunan luar bandar ke arah menuju negara maju dan berpendapatan tinggi berteraskan tiga prinsip utama - kemapanan, inklusif dan holistik, yang setiap satunya merangkumi asas kelangsungan kesejahteraan hidup, keseimbangan dan pelbagai dimensi.

Sementara itu, Program Komuniti Sejahtera anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu adalah kempen amalan gaya hidup sihat, memperkasa semangat kesukarelaan serta mewujudkan hubungan dalam kalangan komuniti bersama pemimpin tempatan, agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.

Berita Harian X