Isnin, 16 September 2019 | 12:31pm

Beretika di lebuhraya demi kebaikan bersama

Bertugas di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) bukan setakat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna lebuhraya, tetapi ia turut menjadikan warga kerjanya sebagai individu yang komited mempamerkan sikap kesopanan, seiring mesej berhemah disarankan.

Ini kerana warga kerja PLUS juga sebahagian daripada pengguna lebuhraya, secara tidak langsung ia mendidik mereka pentingnya menerapkan sikap berkenaan dan memahami etika ketika memandu di lebuh raya.

Ini diakui oleh Ketua Korporat, Komuniti dan Pembabitan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid, 50, apabila beliau turut merasai apa yang dilakukan oleh PLUS untuk warganya dan juga kepada seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, beliau membesar dan menyaksikan sendiri perkembangan lebuhraya, lalu apabila bertugas di PLUS, ia menjadikannya lebih memahami visi serta misi PLUS itu sendiri.

“Apa yang PLUS sediakan adalah apa yang kami inginkan juga sebagai pengguna lebuhraya. Jadi, sebagai balasan, kesopanan dalam menjaga dan beretika ketika di atas lebuhraya itu penting demi kebaikan bersama.

“Lebih-lebih lagi, kita sudah mencapai kemerdekaan 62 tahun. Moral yang tinggi perlu ada dalam jiwa setiap orang dan ia akan memelihara setiap tindak tanduk kita, termasuk warga PLUS,” katanya.

Beliau berkata, keikhlasan dalam bertugas perlu ada kerana ia akan melahirkan jiwa bersih untuk saling bantu membantu.

“Lima Rukun Negara yang kita ada sangat universal kepada seluruh rakyat Malaysia. Apabila kita ada sikap dan moral yang baik sesama kita, keharmonian itu akan terpelihara,” katanya.

Bagi Ketua Risiko dan Patuh Arahan PLUS, Satpal Singh a/l Dadar Singh, 37, berkata biarpun baru bertugas di PLUS, ia memberi banyak nilai tambah kepada dirinya terutama apabila membabitkan peraturan dan undang-undang.

Katanya, tidak bermakna beliau seorang yang alpa, tetapi apa yang dilaksanakan oleh PLUS seperti menerapkan anti rasuah dan meningkatkan integriti dalam diri warganya, menyedarkannya penting membina bangsa yang disegani.

“PLUS bukan setaka nadi kepada setiap pengangkutan yang menggunakan lebuhrayanya tetapi turut bertindak menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Ini yang menjadikan PLUS istimewa kepada warganya dan seluruh masyarakat kerana ia menjurus kepada pelbagai aspek bukan saja keselamatan.

“Saya begitu bangga bekerja di bawah PLUS dan berharap, nilai ini akan terus diterap dan disebarkan kepada seluruh masyarakat bagi memastikan kita hidup dalam keadaan yang harmoni. Kekalkan kemerdekaan yang dicapai dan sentiasa bersatu padu,” katanya.

Bagi anggota PLUSRonda Laluan Shah Alam-Nilai, Konstabel Haril Hafiz Mohd Zin, 25, berkata bertugas sebagai anggota peronda menjadikan beliau sentiasa menerapkan nilai kesopanan ketika berkhidmat kepada pengguna lebuh raya.

“Setiap hari kita bergerak dan berjumpa dengan pelbagai pengguna dengan sikap yang berbeza-beza. Dari situ kita pamerkan sikap sopan supaya mereka juga terkesan dan bertindak sama seperti apa yang kita tunjukkan.

“Pada zaman sekarang, tidak guna untuk kita pentingkan diri sendiri lebih-lebih lagi ketika berada di atas lebuh raya kerana setiap bangsa menggunakan lebuhraya, dan ia hanya akan merugikan setiap orang.

“Dalam suasana kita sudah mencapai kemerdekaan, bebaskan diri kita dari sebarang gangguan, bertimbang rasa dan patuhi arahan. PLUS sentiasa inginkan yang terbaik kepada penggunanya,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Pengurusan Kanan PLUS, Nesavanan a/l Abadiar, 31, berkata bekerja di PLUS juga dianggap sebagai satu ibadat dan harus menjalankannya dengan sebaik mungkin bagi menunjukkan keikhlasan apabila bekerja.

Katanya, setiap hari, PLUS akan mengadakan rutin bacaan doa dalam Bahasa Melayu dan ia memberi kesan mendalam kepadanya untuk terus mengamalkan sikap demi kebaikan bersama.

“PLUS juga menitikberatkan kebajikan komuniti dan menghargai setiap warga kerjanya dengan cara menghargai pekerja.

“Kita bekerja dan berkhidmat untuk rakyat serta demi kebaikan syarikat, jadi tidak rugi untuk mempamerkan sikap terbaik seiring dengan kemerdekaan negara yang dicapai selama 62 tahun ini,” katanya.

Nesavanan berkata, antara objektif PLUS ialah membangunkan lebuhraya untuk menghubungkan setiap orang. Oleh itu jangan biarkan sikap pentingkan diri sendiri kerana ia akan memusnahkan setiap kejayaan yang dikecapi.

“Percaya kepada Tuhan dalam apa juga agama yang dianuti kerana dengan kepercayaan itu anda akan menjadi individu yang boleh berfikir secara rasional.

“Raikan kepelbagaian kita sebagai masyarakat majmuk dan jangan musnahkan apa yang kita ada ini,” katanya yang baru lima bulan bertugas di PLUS.

Tidak terkecuali rakan niaga PLUS iaitu pemilik Kedai Hot Kambing, Nor Aman Karap, 39, di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) di Rawang, berkata menjalankan kerjasama bersama PLUS banyak memberinya kelebihan dalam menjalankan urusan perniagaan.

Katanya, sepanjang empat tahun berurusan bersama PLUS, beliau tidak berdepan dengan pelbagai masalah memandangkan PLUS sentiasa menjaga hubungan dengan rakan niaganya.

“Malah peraturan dan undang-undang yang ditetapkan demi memastikan nama PLUS tidak tercalar, turut menjadikan saya sebagai individu yang sentiasa mempamerkan sikap terbaik kepada setiap pelanggan yang datang.

“Kita membawa nama PLUS dan antara yang berada di barisan hadapan, jadi sikap sopan santun itu perlu dipamerkan kepada pelanggan yang datang ke kedai tanpa mengira kaum selari dengan kemerdekaan yang sudah dicapai negara.

“Tanpa kesopanan, pasti kita akan berpecah belah. Jadi jangan biarkan sikap negatif menguasai kita dan berharap dengan apa yang dilakukan oleh PLUS ini akan menjadikan setiap individu sebagai masyarakat yang berhemah selamanya,” katanya.

Berita Harian X