Isnin, 16 September 2019 | 4:30pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. - Foto BERNAMA

Infrastruktur telekomunikasi rakyat dipertingkatkan - Gobind

KUCHING: Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) mensasarkan capaian minima 500 megabait sesaat (Mbps) Mbps di semua ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpilih menjelang 2021, selain kelajuan purata 30Mbps di 98 peratus kawasan berpenduduk menjelang tahun 2023.

Pelaksanaan NFCP yang bermula sejak Oktober tahun lalu sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Pusat bagi menyediakan kesalinghubungan digital yang inklusif, berkualiti dan mampu milik bagi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata usaha itu bertujuan meningkatkan infrastruktur telekomunikasi bagi memastikan negara ini berupaya menghubungkan rakyatnya, perniagaan dan industri ke dunia global.

“Kepentingan penembusan jalur lebar antara faktor penentu kelangsungan ekonomi negara. Kita juga komited dalam mengiktiraf kesalinghubungan sebagai utiliti asas seperti bekalan air dan elektrik.

“Ini adalah penting bagi memacu pembangunan dalam sektor ekonomi, pendidikan, kesihatan, pengangkutan, pembangunan bandar pintar dan sebagainya,” katanya ketika merasmikan Program [email protected] di Kampung Seratau, di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ketua Pengarah Penerangan, Roselindawati Abdul Rahman.

Gobind berkata, dalam penyediaan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar kepada rakyat, ia tidak hanya bertumpu kepada kawasan bandar semata-mata, sebaliknya merangkumi kawasan pinggir bandar.

“Ini membolehkan lebih ramai usahawan memasarkan produk dan perkhidmatan melalui inisiatif e-Dagang, sekali gus menyumbangkan kepada pertumbuhan sosio-ekonomi setempat,” katanya.

Sementara itu, Gobind berkata, setakat 23 Ogos lalu, 1,430 Komuniti Harapan Malaysia (KHM) berjaya ditubuhkan di seluruh negara, dengan 184 daripadanya di Sarawak.

Katanya, KHM adalah platform disediakan Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat kerajaan dan mengimarahkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

“KHM mampu melaksanakan tanggungjawabnya meningkatkan kefahaman rakyat terhadap dasar pentadbiran kerajaan, selain memperkasakan jaringan komunikasi dan hubungan antara rakyat berbilang kaum,” katanya.

Berita Harian X