Rabu, 18 September 2019 | 12:27am

Jabatan Penerangan nafi dakwaan KHM terima elaun bulanan

KUALA LUMPUR: Jabatan Penerangan Malaysia menafikan hantaran fitnah dan palsu termasuk mengenai dakwaan bahawa sukarelawan Komuniti Harapan Malaysia (KHM) menerima bayaran elaun bulanan.

Jabatan Penerangan dalam satu kenyataan, berkata keahlian KHM adalah bersifat sukarela dan terbuka kepada komuniti setempat dan tidak dibayar gaji seperti didakwa sesetengah pihak.

Katanya, KHM adalah gerakan sukarelawan komuniti yang menjadi rakan strategik bagi membantu jabatan berkenaan mencapai empat matlamat utama termasuk menerangkan maklumat kerajaan dan isu semasa dengan cepat, sahih dan tepat.

“Penubuhan KHM juga antara lain bertujuan memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara dalam kalangan komuniti setempat.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk memantau dan mengumpulkan isu serta kehendak komuniti setempat bagi perhatian dan tindakan penambahbaikan oleh agensi kerajaan berkaitan.

“Kewujudan KHM juga membantu memaju dan memperkasakan keupayaan dan daya siang komuniti setempat sejajar dengan perkembangan sosia-ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Berita Harian X