Rabu, 18 September 2019 | 3:54pm

Kelangsungan hidup Melayu, Bumiputera terjamin

KUALA LUMPUR: Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 perlu mempunyai dasar perancangan dan agenda jelas bagi memastikan kelangsungan hidup orang Melayu serta Bumiputera terus terjamin.

Pakar ekonomi, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata wawasan itu dapat dilaksanakan secara inklusif jika kepentingan dan hak masyarakat Melayu serta Bumiputera dirangka sebaiknya kerana ia dijamin Perlembagaan.

Katanya, orang Melayu dan Bumiputera yang merangkumi kira-kira 70 peratus jumlah penduduk di negara ini adalah nadi utama kepada gerakan wawasan berkenaan, terutama dalam usaha kerajaan merapatkan jurang kemiskinan.

Beliau yang juga profesor ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, orang Melayu dan Bumiputera juga perlu lebih responsif, berani dan berusaha lebih keras menjayakan wawasan itu jika tidak mahu ketinggalan dengan kaum lain.

“Kerajaan perlu mempunyai dasar jelas untuk Bumiputera dan Melayu dalam Wawasan Kemakmuran Bersama kerana ia bukan menyentuh soal sentimen perkauman.

“Melayu dan Bumiputera yang merangkumi 70 peratus penduduk negara ini berhak mengetahui perancangan kerajaan dalam menjayakan gagasan besar itu dan bagaimana ia dapat dikongsi.

“Bagaimanapun, perlu diingat pembabitan mereka dalam wawasan ini bukan untuk mendapat pecahan kemakmuran tetapi bersama-sama menghasilkannya untuk dikongsi,” katanya kepada BH, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, Sabtu lalu. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 antara lain berkata, ia akan memberi fokus kepada merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan kaya dengan miskin serta bandar dan luar.

Noor Azlan berkata, penekanan terhadap golongan Melayu dan Bumiputera perlu dilihat dalam perspektif lebih luas dan bukan menindas atau menekan kaum bukan Bumiputera.

Katanya, dasar lebih jelas untuk orang Melayu dan Bumiputera amat perlu kerana mereka dikenal pasti sebagai golongan yang agak tertinggal.

“Bagaimanapun, ia tidak bermakna hanya 30 peratus penduduk akan menggerakkan wawasan ini. Jika kita dapat meningkatkan kualiti kehidupan kelompok 70 peratus, saya pasti golongan 30 peratus juga akan dapat manfaatnya,” katanya.

Berita Harian X