Rabu, 18 September 2019 | 4:18pm
KERAJAAN akan mengambil tindakan terhadap syarikat perladangan Malaysia di Indonesia yang terbabit dalam pembakaran terbuka sehingga menyebabkan jerebu dan turut menjejaskan negara. - Foto AFP

Tindakan pada syarikat ladang Malaysia sumbang jerebu - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengambil tindakan terhadap syarikat perladangan Malaysia di Indonesia yang terbabit dalam pembakaran terbuka sehingga menyebabkan jerebu dan turut menjejaskan negara.

Perdana Menteri berkata, syarikat terbabit perlu mengambil tanggungjawab memadamkan kebakaran di ladang mereka.

“Kabinet hari ini berbincang mengenai jerebu. Kita juga mahu mengambil tindakan terhadap syarikat Malaysia yang ada estet di luar negara yang menyumbang kepada jerebu hasil pembakaran estet itu.

“Kita akan minta mereka turut ambil tindakan padamkan api. Jika syarikat Malaysia itu tidak mahu mengambil tindakan itu, kerajaan mungkin akan gubal undang-undang supaya mereka bertanggungjawab jika membuat pembakaran terbuka di tanah mereka walaupun ia di luar Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Kerangka Dasar Luar Negara Malaysia Baharu di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, jerebu berlaku hampir setiap tahun dan kerajaan harus mencari cara terbaik menangani masalah berkenaan.

“Antaranya menerusi pembenihan awan, meminta rakyat berada dalam rumah dan tutup sekolah, ini pendekatan yang kita sudah ambil.

“Kita perlu mencari cara kurangkan jerebu menerusi cara kita sendiri, selain pembenihan awan, mungkin boleh sembur air di tempat tertentu untuk kurangkan jerebu,” katanya.

Ditanya sama ada perlu menutup sekolah di seluruh negara, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak bercadang melaksanakannya kerana kesan jerebu berbeza di setiap tempat.

“Tidak bolehlah (tutup), kita kena tahu banyak mana kerana jerebu bukan sama di seluruh Malaysia. mengikut laporan pada pagi ini, kita semua akan pindah ke Kedah dengan Perlis sebab tidak ada jerebu,” selorohnya.

Ditanya sama ada beliau sudah menulis surat kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo berkenaan jerebu, Dr Mahathir berkata, perkara itu belum dilakukan.

“Namun, perkara ini (masalah jerebu) sudah dibangkitkan pihak kita kepada Menteri Indonesia, tetapi mereka kata jerebu dari Malaysia, bukan Indonesia.

“Kerana itu kita terutama agensi kerajaan perlu membuat hebahan yang kerap, mengeluarkan imej satelit menunjukkan lokasi titik panas,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X