Rabu, 18 September 2019 | 5:22pm
Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee (tengah) menunjukkan buku Rahmatan Lil Alamin Dalam Konteks Masyarakat Kontemporari selepas melancarkan buku itu di UIAM hari ini. - Foto BERNAMA

MAIWP lancar buku jelas konsep 'Rahmatan lil 'Alamin

GOMBAK: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini melancarkan buku bertajuk ‘Rahmatan lil ‘Alamin Dalam Konteks Masyarakat Kontemporari’, bagi memberi kefahaman menyeluruh kepada orang ramai mengenai konsep yang diperkenalkan kerajaan di bawah Malaysia Baharu.

Buku setebal 256 muka surat itu yang mengandungi 21 bab dengan membahaskan mengenai konsep Rahmatan lil Alamin, dihasilkan oleh 20 ahli akademik dari lapan universiti awam.

Berucap melancarkan buku berkenaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee, berkata ketika ini, wujud pelbagai salah faham dan tafsiran yang menyimpang mengenai konsep Rahmatan lil Alamin.

Sehubungan itu, katanya, usaha perlu digerakkan bagi memberi kefahaman kepada semua pihak mengenai makna dan ciri sebenar konsep itu.

“Usaha ini penting agar idea sebenar dan jelas mengenai konsep ini dapat disampaikan dalam pelbagai bahasa, sesuai dengan kehadiran pelbagai latar belakang budaya dan bahasa dalam masyarakat kita, malah di persada antarabangsa.

“Buku ini dapat memberi kefahaman mengenai keperluan mengamalkan sifat rahmah sesama kita yang berbilang budaya, agama dan latar belakang berlainan,” katanya.

Beliau berkata, pembaca juga dapat melihat bagaimana Rahmatan lil Alamin dibincangkan dengan menggabungkan konsep itu dengan pelbagai bidang ilmu seperti sains kemasyarakatan, sains kemanusiaan, pengurusan, ekonomi dan undang-undang.

“Justeru, buku ini juga bakal diterbitkan dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil, yang dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun depan,” katanya.

Syed Hussien berkata, buku terbitan Penerbit UIAM itu dicetak sebanyak 1,000 naskhah bagi peringkat awal dan akan diedarkan di institusi pengajian tinggi, kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara.

“Buku ini boleh menjadi sumber kepada pembuat dasar, pengamal media, pendakwah dan ahli politik untuk mereka membangunkan program tindakan berkaitan konsep Rahmatan lil Alamin,” katanya.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Pemangku Rektor yang juga Timbalan Rektor (Akademik dan Jaringan Industri) UIAM, Prof Dr Isarji Sarudin.

Konsep Rahmatan lil Alamin adalah manifestasi kepada prinsip utama pengurusan hal ehwal Islam yang dilaksanakan dalam kerangka Maqasid Syariah bagi melahirkan Model Malaysia sebagai dasar serta hala tuju Malaysia Baharu.

Pendekatan itu selaras dengan ajaran yang termaktub dalam al-Quran dan hadis yang bersifat sejagat dan sebagai rahmat untuk seluruh alam.

Berita Harian X