Rabu, 18 September 2019 | 6:54pm
TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah merasmikan Persidangan Akauntan Sektor Awam Kebangsaan Ke-29 di Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

Kerajaan bayar faedah hampir RM9 bilion hutang 1MDB

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan sudah membayar faedah hampir RM9 bilion bagi hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Bagaimanapun, beliau berkata, hutang pokok syarikat pelaburan strategik itu berjumlah RM36 bilion masih belum dibayar setakat ini.

Katanya, kerajaan komited dan berusaha untuk menyelesaikan hutang berkenaan mengikut jadual ditetapkan bagi mengelak reputasi negara terjejas.

“Setakat ini, kita hanya membayar faedah hutang, yang pokoknya berjumlah RM36 bilion masih belum disentuh (belum dibayar).

“Pada masa sama, kita memerlukan perbelanjaan pembangunan untuk perkara lain juga. Jadi, kita akan melihat perkara yang menjadi keutamaan.

“Apabila tiba masanya, kita akan bayar, namun kita juga akan memastikan projek pembangunan lain dapat diteruskan juga,” katanya selepas merasmikan Persidangan Akauntan Sektor Awam Kebangsaan Ke-29 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Akauntan Negara (Operasi), Dr Yacob Mustafa dan Timbalan Akauntan Negara (Korporat), Datuk Zamimi Awang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 pada tahun lalu dilaporkan berkata, kerajaan mendapati negara mungkin perlu membayar sehingga RM43.9 bilion lagi bagi menyelesaikan hutang 1MDB itu.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, jaminan kerajaan yang terpaksa membayar hutang 1MDB ini memberi kesan terhadap perbelanjaan pembangunan negara.

“Alangkah baiknya, wang yang digunakan untuk membayar jaminan kerajaan ini diperuntukkan untuk pembinaan hospital, sekolah, jalan raya dan baik pulih sekolah daif yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya ingat perkara ini kita dapat lakukan dengan lebih cepat jika tidak diganggu oleh pembayaran hutang yang tidak sepatutnya negara tanggung,” katanya.

Berita Harian X