Rabu, 18 September 2019 | 8:20pm
Tinjauan keadaan jerebu di kawasan perumahan Sungai Ara, Pulau Pinang. IPU pada jam 5 petang tadi sangat tidak sihat di kawasan Balik Pulau (263) dan Minden (233) serta tidak sihat di Seberang Jaya (189) dan Seberang Perai (193). - NSTP/Rosli Ahmad
IPU 188 menunjukkan bacaan yang tidak sihat di Kuala Lumpur. - NSTP/Mustaffa Kamal
Dermaga Pelabuhan Utara kelihatan kurang jelas berikutan jerebu yang melanda negara. IPU mencatatkan bacaan 201 iaitu sangat tidak sihat ketika gambar ini dirakam pada jam 5 petang. - NSTP/Roslin Mat Tahir
Hujan dapat mengurangkan masalah jerebu yang melanda di sekitar Putrajaya, hari ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Pemandangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjerebu dengan bacaan IPU 182 (tidak sihat) ketika dirakam pada jam 2 petang. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Sekolah, tadika 3 negeri diarah tutup dua hari

PUTRAJAYA: Semua sekolah dan tadika di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Pulau Pinang akan ditutup selama dua hari iaitu Khamis dan Jumaat ini berikutan jerebu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata bagi institusi pengajian tinggi pula, pihak pengurusan mereka mempunyai hak keputusan untuk menutup ataupun tidak.

Beliau berkata, sepanjang penutupan terbabit, guru mempunyai hak bekerja dari rumah manakala pengetua dan Guru Besar hendaklah memastikan perkara itu dibuat dengan mengambil kira kebajikan keluarga mereka.

“Pengetua dan Guru Besar boleh mengumumkan penutupan sekolah sekiranya pada pandangan beliau jerebu semakin teruk berdasarkan bacaan IPU pada hari itu dan keputusan harus diberitahu kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri.

“Bagi sekolah yang diumumkan tutup selepas pelajar dan murid berada di sekolah, mereka masih boleh berada di sekolah, di mana Pembelajaran dan Pengajaran akan berjalan seperti biasa sehingga tamat tempoh persekolahan kecuali terdapat waris yang mahu membawa pulang anak mereka, mereka dibenarkan pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra Pasukan Malaysia Warrior dan Malaysia Tiger di pejabatnya di sini, hari ini.

Maszlee berkata, penutupan semua sekolah yang terbabit tidak perlu ditukar ganti kerana dikategorikan sebagai cuti bencana.

“Pelajar dan guru diingatkan supaya sentiasa mengutamakan kesihatan, minum air secukupnya dan kurangkan kegiatan di luar,” katanya.

Berita Harian X