Rabu, 18 September 2019 | 10:17pm
Nishka juga dikesan menghidap penyakit kanser buah pinggang bulan lalu yang menyebabkan keadaannya tidak aktif dan perlu menggunakan bantuan untuk pernafasan. - Ihsan keluarga

Pembedahan kepala semasa usia 24 hari

KOTA BHARU: Seorang bayi perempuan berusia empat bulan menderita kanser otak tahap empat sehingga hilang penglihatan dan tidak mampu bersuara.

Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham berada disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika berusia 21 hari, selepas keadaan kepalanya yang agak besar berbanding bayi seusianya.

Ibu bayi berkenaan, Khairiah Kamarudin, 35, berkata siapa yang tidak sedih dan terkejut apabila bayi yang dikandung sembilan bulan dengan dilahirkan normal, disahkan menghidap kanser otak ketika anaknya baru berusia 21 hari.

“Selepas disahkan menghidap kanser otak, anak saya menjalani pembedahan pertama ketika berusia 24 hari menyebabkan penglihatan matanya terjejas, selain tidak mampu mengeluarkan suara.

“Lebih menyedihkan, Nishka juga dikesan menghidap penyakit kanser buah pinggang bulan lalu yang menyebabkan keadaannya tidak aktif dan perlu menggunakan bantuan untuk pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Sehingga kini, anak saya sudah menjalani pembedahan sebanyak empat kali, iaitu dua di kepala serta dua di dada. Pada masa sama, anak saya menjalani rawatan kemoterapi sebanyak dua kali,” katanya.

Khairiah yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar, Pulai Chondong dekat Machang berkata, luluh hatinya setiap kali melihat keadaan anaknya yang menanggung kesakitan.

“Walaupun tidak sanggup melihat segala rawatan untuk anak, namun sebagai ibu, besar harapan saya untuk melihat anak kembali pulih.

“Saya dan suami, Mohd Farham Che Ahmad, 36, kini memberi perhatian sepenuhnya kepada Nishka dan berulang-alik ke hospital setiap hari.

“Saya bersyukur kerana empat anak yang lain dijaga oleh nenek mereka iaitu dua di Pasir Mas dan dua lagi di Bukit Marak. Kami terpaksa meletakkan anak-anak di bawah jagaan nenek mereka kerana saya dan suami berada di hospital sepenuhnya untuk menjaga anak bongsu.

“Setiap hari, saya akan bergerak ke tempat kerja dari hospital dan sebaik pulang dari sekolah, saya akan datang untuk melihat Nishka,” katanya.

Khairiah berkata, dia tidak menyangka anak bongsunya itu menghidap penyakit kronik memandangkan ketika mengandung dia tidak mempunyai sebatang masalah sehingga proses melahirkan secara normal di HUSM.

“Saya anggap ini sebagai ujian kepada kami dan reda dengan ketentuan Allah SWT. Kami meminta rakyat Malaysia mendoakan supaya Nishka segera sembuh dan dapat keluar daripada hospital,” katanya.

Kisah penderitaan bayi Nishka tular di media sosial, selain turut mendapat perhatian daripada artis termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mengulang siar kisah bayi berkenaan.

Berita Harian X