Khamis, 19 September 2019 | 12:44pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - NSTP/Salhani Ibrahim

Dasar Rahmatan lil Alamin dibentang ke Kabinet hujung bulan ini

GOMBAK: Kertas Kabinet berhubung Rahmatan lil Alamin sebagai dasar pentadbiran Islam baharu negara akan dibentangkan kepada Kabinet hujung bulan ini atau selewat-lewatnya awal bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata penyediaan dokumen kini sedang di peringkat akhir dan jika diterima Kabinet kelak, dasar baharu itu akan dilaksanakan secara rasmi secepat mungkin.

“Apabila Jemaah Menteri menerimanya kelak, kita akan anjurkan satu majlis di mana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melancarkan dasar pentadbiran Islam baharu ini yang berasaskan Rahmatan lil Alamin.

“Ia juga akan diterjemahkan pada belanjawan Oktober ini melalui program yang akan kita laksanakan dan insya-Allah, pada tahun depan, dasar ini akan sampai pada tahap yang intensif untung disebarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Rahmatan lil Alamin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee dan Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Mujahid berkata, gagasan Rahmatan lil Alamin sudah pun diterima selepas dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) pada Mac tahun lalu dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 2 Julai lalu.

“Kerajaan bersungguh-sungguh untuk memastikan Rahmatan lil Alamin diterima oleh semua segmen masyarakat.

“Ia bukan keadaan di mana kita syok sendiri, ia keadaan di mana rakyat pelbagai kaum di negara ini sangat memerlukan satu dasar yang akan menjawab isu perkauman dan agama yang sempit, yang menular dalam masyarakat hari ini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun belum dilaksanakan sebagai dasar rasmi, konsep Rahmatan lil Alamin sudah pun diterap dan diterjemahkan dalam pentadbiran kerajaan ketika ini, susulan ia terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan.

Katanya, antaranya termasuk amalan tadbir urus yang baik seperti dasar kebangsaan untuk membanteras rasuah dan pengukuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain membuka ruang yang lebih bebas kepada media untuk memberi pandangan.

“Sudah tentu ia memberi risiko kerana ada pihak yang akan mengambil kesempatan menyerang kerajaan tapi kita tidak berhasrat untuk menutup kebebasan ini.

“Berdasarkan Maqasid Syariah, manusia bebas memberi pandangan, cuma kita akan mendidik masyarakat supaya memberi pandangan yang bebas tetapi bertanggungjawab,” katanya.

Mujahid berkata, di bawah gagasan Rahmatan lil Alamin juga, kerajaan menegaskan tidak akan terheret dengan perbahasan perkauman yang sempit, contohnya isu kebebasan untuk membeli produk keluaran Islam, yang dijadikan modal isu perkauman oleh pihak tertentu.

“Justeru, kerajaan membuat pendirian bahawa kita menyokong produk Malaysia dan kita tambah dari segi pentadbiran Islam iaitu produk Malaysia yang halal.

“Kita juga menegaskan bahawa kebebasan tidak membolehkan kita menghina antara agama, selain ketegasan dalam memelihara alam sekitar,” katanya.

Selain itu, Mujahid berkata, gagasan Rahmatan lil Alamin turut diterjemahkan melalui konsep masjid Rahmah, sesi townhall dan konvensyen berskala kecil bagi memberi lebih kefahaman kepada pemimpin dan masyarakat di peringkat akar umbi.

Mengenai seminar anjuran MAIWP dengan kerjasama UIAM yang julung kali diadakan itu, Mujahid berkata, hasil resolusi seminar itu akan dibukukan dan dijadikan rujukan di peringkat pentadbiran kerajaan serta institusi pengajian tinggi, selain dibawa ke peringkat antarabangsa.

Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan pada seminar itu yang dihadiri kira-kira 150 peserta dari dalam dan luar negara, selain satu forum yang mengupas secara terperinci mengenai konsep Rahmatan lil Alamin.

Berita Harian X