Khamis, 19 September 2019 | 5:40pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Rang undang-undang 'food bank' dibentang bulan depan

NILAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membentangkan rang undang-undang untuk mengawal aktiviti berkaitan ‘food bank’ pada sidang Parlimen bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata rang undang-undang yang kali pertama bakal diperkenalkan itu penting bagi melindungi penyumbang terbabit.

“Ketika ini ada kebimbangan daripada penyumbang yang mempunyai nama besar, jika mereka memberi sumbangan seperti makanan dan berlaku masalah seperti penerima tiba-tiba sakit lalu dikenakan tindakan saman.

“Jika perkara ini berlaku, jelas sekali reputasi mereka akan terjejas,” katanya pada Sesi Bicara Menteri di Dewan Kuliah Pusat 3, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, perkara itu menyebabkan kementerian mula melihat model ‘food bank’ di negara maju lain sebagai rujukan.

“Jadi, dengan adanya rang undang-undang sedemikian yang dapat melindungi penyumbang, mereka akan lebih terkesan untuk bersama membantu menjayakan program ini,” katanya.

Berita Harian X