Khamis, 19 September 2019 | 8:37pm
Muhammad Kamal (kiri) pada Seminar Antarabangsa Rahmatan lil Alamin di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Salhani Ibrahim

Tangani keruntuhan akhlak

GOMBAK: Pendekatan Rahmatan lil Alamin perlu ditonjolkan dalam menangani krisis dunia hari ini yang menyebabkan berlakunya keruntuhan akhlak dan budi pekerti.

Krisis ini membuka pintu ancaman yang besar dan umat Islam perlu melakukan anjakan paradigma dalam aspek pembangunan insan dan alam yang menyeluruh berdasarkan risalah Muhammadiyyah sebagai Rahmatan lil Alamin.

Penasihat Kehormat, Pusat Islamisasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Muhammad Kamal Hassan, berkata pendukung anjakan paradigma ini, antaranya termasuk generasi baru pemimpin politik, ekonomi dan masyarakat yang bertakwa serta menghayati ajaran Islam mengenai penjagaan Maqasid Syariah.

Katanya, golongan ini perlu menghayati hubungan tanggungjawab serta adab dan kasih sayang terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagai pemimpin Rahmatan lil Alamin.

“Terhadap bukan Islam yang tidak memerangi atau memusuhi umat Islam pula, bermuamalah (interaksi sosial) dengan kehalusan budi orang mukmin dan rasa tanggungjawab kemanusiaan.

“Tampilkan perlakuan beradab dengan ikhlas, jujur dan hikmah tanpa mengharapkan balasan manusia kerana akhirnya yang diidamkan ialah keredaan daripada Allah SWT,” katanya pada Seminar Antarabangsa Rahmatan lil Alamin di sini, hari ini.

Turut ditampilkan dalam sesi Memahami Rahmatan li’l-Alamin Secara Syumul, Mutakamil dan Ilmiah itu ialah Pengarah Pusat Studi al-Quran Jakarta, Dr Muchlis M Hanafi.

Muhammad Kamal berkata, hari ini terdapat beberapa golongan termasuk kelompok liberal dan sekular yang memberi tafsiran luar konteks dalam memahami surah al-Baqarah Ayat 262.

Katanya, beberapa ayat dalam surah itu sering digunakan bagi menyatakan semua agama sama, sedangkan jika dibaca ayat sebelum dan selepasnya, jelas dinyatakan mengenai akidah Yahudi dan Nasrani yang menyimpang daripada akidah sebenar.

“Kita mahu menghindarkan diri daripada golongan yang menyamaratakan agama atas keyakinan bahawa pluralisme agama ialah kehendak Allah SWT atau perkahwinan sejenis tidak dimurkai Allah SWT.

“Ayat Rahmatan lil Alamin diberi tafsiran luar konteks dan dijadikan satu daripada hujah bagi mengesahkan pendirian mereka,” katanya.

Berita Harian X