Khamis, 19 September 2019 | 8:50pm
REKTOR Universitas Islam Negeri Ar-Raniry, Banda Aceh, Indonesia, Prof Dr H Warul Walidin AK MA. - Foto Salhani Ibrahim

Tafsiran dangkal bawa fahaman sempit

GOMBAK: Tafsiran kepada konsep Rahmatan lil Alamin yang dangkal menyebabkan lahirnya pemahaman sempit mengenainya sehingga mencipta pelbagai terma yang bertentangan dengan matlamat sebenar konsep itu.

Rektor Universitas Islam Negeri Ar-Raniry, Banda Aceh, Indonesia, Prof Dr H Warul Walidin AK MA, berkata konsep yang diamalkan sejak zaman Rasulullah itu sebenarnya mampu menjadi gagasan masa depan bagi membentuk masyarakat Islam yang ‘khairu ummah’, seperti yang dituntut al-Quran.

Katanya, Rahmatan lil Alamin pernah diamalkan di Aceh pada era kemajuan tamadun Islam dengan konsep ‘suloh’ dan ‘pemayong’, manakala di bawah konteks moden, syariat Islam di Aceh memberi ruang ‘tasamuh’ (interaksi dengan bukan Islam) terhadap penganut agama lain.

“Rahmatan lil Alamin ini sebuah visi hebat. Dengan konsep yang luar biasa ini, banyak daripada orang bukan Islam yang memeluk Islam kerana kepedulian kita kepada kaum Islam dan tingkah laku kita menarik perhatian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada forum bertajuk “Konsep Rahmatan lil Alamin dan Penyatuan Ummah: Realiti dan Harapan” di Seminar Antarabangsa Rahmatan lil Alamin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Ahli panel lain ialah Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei, Dr Lilly Suzana Shamsu dan Pengarah Masjid, Majlis Ugama Islam Singapura, Mohamad Helmy Mohd Isa, manakala Timbalan Presiden yang juga Timbalan Naib Canselor, Universiti Selangor, Prof Dr Mohd Nor Nawawi bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, Lilly Suzana berkata, Rahmatan lil Alamin tidak menghalang umat Islam untuk menjadi tegas dalam sesetengah perkara.

“Banyak perkara yang perlu diambil kira dan disesuaikan mengikut keadaan yang akan menjadikan Islam sebagai Rahmatan lil Alamin. Wasatiyah tidak boleh hanya dalam bab terpilih saja dan ia perlu dilihat secara holistik seperti yang diamalkan Rasulullah serta sahabat,” katanya.

Mohamad Helmy pula berkata, konsep Rahmatan lil Alamin sudah dimulakan di Singapura sejak 2004 dan dilaksanakan melalui penubuhan Yayasan Rahmatan lil Alamin pada 2005 serta Pusat Harmoni yang menjadi medium interaksi di antara pemimpin dan masyarakat pelbagai agama.

“Di bawah konsep ini, kita membangunkan institusi masjid yang bersih, tersusun, mesra dan terbuka kepada bukan Islam. Kita menerajui dalam aktiviti memberi sumbangan supaya umat Islam bukan hanya dilihat menerima tetapi juga memberi,” katanya.

Beliau berkata, dialog di antara pemimpin agama di Singapura tidak membincangkan mengenai ketuhanan, sebaliknya lebih kepada isu yang membawa kepada saling memahami antara agama seperti pakaian dan makanan.

Sementara itu, pada pembentangan kertas kerja bertajuk “Hubungan Rahmatan lil Alamin dan Adab al-Ikhtilaf”, Felo Pusat Pengajian Islam (OXCIS), Oxford University, Prof Datuk Dr Muhammad Afifi al-Akiti, berkata pemahaman mengenai konsep saling berkenalan dalam surah al-Hujurat ayat 13, dapat memastikan pengendalian hubungan yang baik di antara umat Islam dan bukan Islam.

Katanya, konsep berkenal-kenalan dalam ayat itu meliputi ‘taayush’ iaitu interaksi sesama Islam dan ‘tasamuh’.

“Jika kita memahami surah itu, kita akan faham mengenai cara untuk mendekati bukan Islam ialah secara tasamuh atau bertolak ansur, meskipun mungkin kita tidak bersetuju dengan mereka.

“Kita mungkin ada ‘grudging acceptance’ terhadap bukan Islam tetapi pada masa sama bertolak ansur, demi keamanan dunia kerana tidak mahu berlaku pertelingkahan.

“Jadi di sini kita nampak hubungan antara Rahmatan lil Alamin dan bagaimana ia mengajar kita untuk mengendalikan dan berkelakuan dengan manusia lain sama ada Islam atau tidak,” katanya.

Berita Harian X