Jumaat, 20 September 2019 | 12:36pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. NSTP/Rosela Ismail
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. NSTP/Rosela Ismail

756 lokap polis bakal dilengkapi CCTV

KUALA LUMPUR: Sebanyak 756 lokap polis di seluruh negara akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dalam usaha memantau isu keselamatan tahanan, sekali gus mempertingkatkan integriti pasukan keselamatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata pemasangan CCTV itu dijangka selesai hujung tahun ini dengan membabitkan peruntukan berjumlah RM73 juta.

“Bajet pemasangan CCTV diluluskan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) di Putrajaya, semalam, bagi mengetahui kejadian yang berlaku ketika seseorang individu berada dalam tahanan,” katanya kepada pemberita selepas melawat berek polis bahagian Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan; dan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Mengulas lanjut, Vui Keong berkata, kerajaan juga akan memasang CCTV di lokap mahkamah seluruh negara, namun ia memerlukan peruntukan lain diumumkan kemudian.

Berhubung perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM100 juta bagi membaik pulih lif pejabat dan kuarters polis di seluruh negara.

“Kerja membaik pulih lif membabitkan 210 kuarters dan pejabat akan dilakukan sebaik saja pihak kontraktor menerima surat pelantikan pada hujung bulan ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid menegaskan, tiada bantahan daripada pihaknya berhubung pemasangan CCTV di lokap kerana ia dapat meningkatkan integriti pegawai dan anggota polis.

“Anak buah saya terdedah kepada fitnah sedangkan banyak kes kematian di dalam lokap berpunca daripada penyakit dihidapi tahanan itu sendiri.

“Saya percaya dengan adanya CCTV ini, anak buah saya dapat mengelakkan tohmahan, sekali gus menjalankan tugas dengan lebih sempurna,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X