Jumaat, 20 September 2019 | 11:21pm
Dr Wan Azizah bersama Kon Yeow dan Saifuddin (kanan) merasmikan Yayasan Food Bank Malaysia dan Malam Apresiasi Bersama Penyumbang di Georgetown, malam ini. - NSTP/Mikail Ong

Kerajaan akan bentang rang undang-undang lindungi penderma FoodBank

GEORGETOWN: Kerajaan akan membentangkan satu rang undang-undang berkonsepkan ‘Good Samaritan Law’ bagi melindungi penyumbang dan penerima program FoodBank.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata rang undang-undang itu akan dibentangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada sidang Parlimen, bulan depan.

“Kebanyakan pengusaha makanan ini tidak mahu mendermakan makanan kerana takut makanan yang diberi itu terjadi apa-apa kepada penerima.

“Jadi rang undang-undang ini penting untuk melindungi mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Yayasan Food Bank Malaysia dan Malam Apresiasi Bersama Penyumbang di sini, malam ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dr Wan Azizah berkata, sebanyak 430 cawangan penyumbang menyertai Foodbank Malaysia sejak ia mula dilancarkan pada 22 Disember tahun lalu.

Katanya, sehingga bulan lalu, penerima Foodbank membabitkan 311,189 isi rumah.

“Bagi meluaskan program Foodbank Malaysia, Yayasan Food Bank Malaysia sudah diperbadankan pada 7 Januari lalu.

“Yayasan ini akan menyelaraskan perkembangan dan pelaksanaan program ini di seluruh negara,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan juga menubuhkan Foodbank Siswa pada awal tahun ini, susulan keputusan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi membantu siswazah di universiti awam.

Katanya, melalui perjumpaan dengan 20 universiti awam, didapati 70 hingga 80 peratus pelajar universiti awam adalah daripada keluarga B40.

“Sehingga hari ini, 13 universiti awam menyertai program Foodbank Siswa yang membabitkan 3,820 pelajar,” katanya.

Berita Harian X