Jumaat, 20 September 2019 | 11:43pm
Mohd Redzuan (dua dari kiri) merasmikan program ‘Jom Jejak Usahawan TEKUN Nasional’ di Kompleks Jawatankuasa dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Masjid Tanah, di Alor Gajah, hari ini. - NSTP/Khairunisah Lokman
Mohd Redzuan (dua dari kiri) merasmikan program ‘Jom Jejak Usahawan TEKUN Nasional’ di Kompleks Jawatankuasa dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Masjid Tanah, di Alor Gajah, hari ini. - NSTP/Khairunisah Lokman

Usahawan tempatan harus rebut peluang juarai sektor halal

ALOR GAJAH: Kedudukan Malaysia sebagai peneraju dan hab industri halal dunia boleh terjejas sekiranya usahawan tempatan tidak bersedia untuk mengorak langkah dalam menjuarai sektor halal di peringkat antarabangsa.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata adalah suatu kerugian bagi usahawan tempatan jika tidak merebut peluang berkenaan memandangkan negara ini sendiri sudah mempunyai hala tuju, asas serta pasaran yang kukuh bagi industri halal, sehinggakan banyak negara lain hendak bekerjasama dengan Malaysia.

“Sebab itu saya bimbang kalau kita tidak memberi fokus terhadap industri halal ini, maka kita akan ketinggalan bukan sahaja kepada negara jiran, Indonesia tetapi kepada negara Jepun yang mengakui secara terbuka bercita-cita untuk menjuarai industri halal dunia pada masa depan.

“Namun, alhamdulillah kita bersyukur apabila Jepun hendak bekerjasama rapat dengan kita bagi industri halal ini berpandukan hubungan dua hala antara kedua negara yang kukuh.

“Malah, bukan hanya Jepun, negara lain di Timur Tengah, Eropah Timur serta Russia juga menyatakan hasrat sama, sekali gus mahu menjadikan Malaysia sebagai peneraju hab barangan halal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program ‘Jom Jejak Usahawan TEKUN Nasional’ di Kompleks Jawatankuasa dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, cadangan penubuhan hab pemborongan usahawan Bumiputera yang akan dikendalikan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) berupaya mengurangkan pembabitan orang tengah, sekali gus memberi tempat buat peniaga kecil dan sederhana (IKS) bersaing serta memasarkan pasaran lebih meluas.

“Kita sudah mengenal pasti tapak untuk membina TEKUN Mall di Kota Bharu, Kelantan yang bakal menghimpunkan 3,000 usahawan tempatan di bawah satu bumbung, dan mahu konsep sama diperkenalkan di Masjid Tanah, Melaka yang menghimpunkan produk keluaran 250 usahawan tempatan di sini.

“Menerusi TEKUN Mall, kita mahu usahawan memperkukuh jaringan dan pasaran, seterusnya menembusi 70 peratus nilai pasaran di pasar raya tempatan yang sebelum ini didominasi barangan luar,” katanya.

Ditanya mengenai usaha pihak tertentu mempromosikan gerakan memboikot produk keluaran bukan Bumiputera, Mohd Redzuan berkata, terpulang kepada cita rasa masyarakat untuk membeli barangan mengikut pilihan masing-masing.

“Tidak salah untuk kempen membeli barangan Muslim kerana terpulang kepada cita rasa sendiri kerana kita tidak boleh paksa orang membeli mengikut cita rasa mereka.

“Malaysia ini sebuah negara majmuk yang berbilang kaum. Sebab itu apabila kita sebut nak utamakan barangan halal, sesetengah pihak nampak seolah seperti kempen boikot sedangkan kita nak tingkatkan kesedaran untuk menjadi negara keusahawanan,” katanya.

Berita Harian X