Sabtu, 21 September 2019 | 2:54pm
TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin (kanan) beramah mesra dengan salah seorang penerima Anugerah Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Zabedah Setapa, 49, (tiga, kiri) pada Majlis Perasmian Fiesta Sahabat AIM 2019 di Kolej Matrikulasi Kelantan, Kok Lanas. - Foto BERNAMA

Penyediaan infrastruktur antara fokus Wawasan Kemakmuran Bersama di Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan akan memberi tumpuan kepada pembinaan infrastruktur di Kelantan dalam usaha mengurangkan jurang ekonomi menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata antara kemudahan asas yang diberi penekanan adalah pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai.

Katanya, perjalanan dari bandar ini ke Kuala Krai yang kini mengambil masa kira-kira dua jam, boleh disingkatkan kepada 40 minit dengan adanya lebuh raya berkenaan.

“Kerajaan juga akan melihat projek infrastruktur lain dalam usaha meningkatkan ekonomi di Kelantan. Sektor pertanian juga perlu diberi tumpuan bagi memastikan ekonomi penduduk desa dapat ditingkatkan.

“Kita melihat pekebun dan petani mempunyai kesungguhan dan begitu rajin, namun pendapatan mereka adalah minimum berikutan kekangan dalam penggunaan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan FIESTA Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) 2019, di sini, hari ini.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 akan memberi fokus kepada merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta bandar dan luar.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilaporkan berkata wawasan itu bukan untuk menjadikan semua orang jutawan tetapi memastikan rakyat merasakan mereka mendapat bahagian yang adil mengikut kategori masing-masing.

Berita Harian X