Sabtu, 21 September 2019 | 3:19pm
MENTERI Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof ketika sidang media pada Majlis Amanat Bersama Gerakan Koperasi dan Sambutan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Majlis Countdown Halatuju Koperasi pada 2022 di Tamarind Square. - Foto BERNAMA

Kajian pindaan Akta Koperasi di peringkat akhir

CYBERJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan di peringkat akhir meminda Akta Koperasi 1993, yang antara lain bertujuan memperkasa dan memudah cara gerakan koperasi.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata pindaan akta itu yang mendapat kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), juga bertujuan menjadikan suruhanjaya itu lebih cekap dan pada masa sama tidak mengekang gerakan koperasi yang mahu melakukan aktiviti keusahawanan.

“(Pindaan) Akta itu akan dibawa ke Parlimen awal tahun depan. Pindaan itu membabitkan bagaimana untuk memudah cara segala bentuk gerakan koperasi, kalau ada kekangan untuk mereka melakukan sesuatu aktiviti, kita akan longgarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Gerakan Koperasi dan Majlis Countdown Hala Tuju Koperasi Selepas 100 Tahun di sini hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan amanat kepada 20,000 ahli gerakan koperasi dari seluruh negara.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Mengulas lanjut Mohd Redzuan berkata, antara fokus kajian semula akta berkenaan ialah untuk merasionalkan fungsi agensi berkaitan koperasi dalam mengurangkan kerenah birokrasi.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Redzuan menegaskan, kajian semula Akta Koperasi dan akta berkaitan adalah bagi mencetuskan liberalisasi kerangka perundangan koperasi selaras objektif melonjakkan sumbangannya sebagai sumber pertumbuhan ekonomi ketiga negara.

“Dalam konteks ini, kapasiti dan keupayaan koperasi dalam sektor ekonomi utama akan ditingkatkan melalui perluasan akses kepada program, bantuan dan peluang perniagaan setara dengan syarikat perusahaan kecil dan sederhana di negara ini,” katanya.

Berita Harian X