Sabtu, 21 September 2019 | 4:11pm
LEE Lam Thye ketika hadir majlis perpisahan anjuran warga NIOSH di Kuala Lumpur.
LEE Lam Thye ketika hadir majlis perpisahan anjuran warga NIOSH di Kuala Lumpur.

Lam Thye wujudkan pertubuhan komuniti

KUALA LUMPUR: Tan Sri Lee Lam Thye yang semalam menamatkan kontraknya sebagai Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sudah mewujudkan pertubuhan khusus untuk komuniti mengutamakan keselamatan dan akan mengumumkan mengenainya dalam masa terdekat.

Beliau berkata, langkah itu kerana minat dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) walaupun sudah meninggalkan NIOSH yang diterajuinya selama 27 tahun.

“Saya melihat (pertubuhan) amat baik kerana ia platform kebajikan, perkongsian maklumat dan komunikasi bagi komuniti seperti anggota beruniform, pengamal media, kakitangan sekolah, keluarga dan pelbagai peringkat masyarakat.

“Menerusi pertubuhan itu, saya berharap terus menyumbang pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam bidang KKP kepada masyarakat,” katanya kepada BH, hari ini.

Lam Thye turut menerima jolokan Bapa Pembangunan dan Kemajuan NIOSH dalam satu majlis perpisahan anjuran warga NIOSH, Khamis lalu.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi NIOSH, K Gunasegaran dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh.

Ayob mengumumkan Dewan Cempaka di ibu pejabat NIOSH dinamakan Dewan Tan Sri Lee Lam Thye, manakala sebuah galeri khas akan dibina untuk mengenang jasa Lam Thye.

Lam Thye, 73, mula menyertai NIOSH sebagai Ahli Lembaga Pengarah selepas ditubuhkan pada 1992 sebelum dilantik pengerusi pada 1994, dengan setiap aktiviti NIOSH di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia.

Mengulas lanjut majlis perpisahan itu, Lam Thye berkata, beliau mahu warga NIOSH meneruskan kecemerlangan dan berpegang kepada nilai asas integriti, profesionalisme dan inovasi.

Berita Harian X