Ahad, 22 September 2019 | 12:14pm
AZHAR Azizan Harun

Kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai: SPR dijangka keluar kenyataan esok

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengeluarkan kenyataan media berhubung kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai, Johor, esok berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata buat masa ini SPR tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu bagi menghormati keluarga Allahyarham.

“SPR akan keluarkan kenyataan media, mungkin esok. SPR mahu menghormati keluarga Allahyarham, sebab itu tidak dikeluarkan apa-apa kenyataan buat masa ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Dr Md Farid yang memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor, kira-kira jam 6 pagi semalam akibat komplikasi jantung, pada usia 42 tahun.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Haji Ahmad Chokoh, Pontian, Johor kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA), dengan majoriti 524 undi.

Allahyarham juga adalah doktor dan pakar bius di sebuah klinik swasta di

Melaka sebelum menyertai politik.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar buat negara.

Berita Harian X