Ahad, 22 September 2019 | 4:49pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad beramah mesra dengan orang ramai ketika menghadiri majlis penyerah kunci rumah mampu milik Residensi Wangsamas, di Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad beramah mesra dengan orang ramai ketika menghadiri majlis penyerah kunci rumah mampu milik Residensi Wangsamas, di Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kerajaan mungkin tawar harga lebih tinggi untuk tanah Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan menawarkan harga lebih tinggi untuk mengambil alih dan membeli tanah di Kampung Baru berbanding harga RM850 sekaki persegi seperti diumumkan sebelum ini.

Justeru, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam masa terdekat bagi memuktamadkan harga sebenar tanah di Kampung Baru.

“Saya akan jumpa Tun Dr Mahathir Mohamad (dalam masa terdekat) untuk mendapatkan pandangan sama ada kerajaan boleh membeli tanah Kampung Baru dengan harga lebih tinggi daripada harga ditawarkan sekarang iaitu RM850 sekaki persegi.

“Kalau ada kenaikan pun mungkin tidak banyak, hanya sekitar dua hingga lima peratus daripada apa ditawarkan kerajaan sekarang kerana kita terikat dengan penilaian dibuat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Selepas bertemu dengan Tun Dr Mahathir saya akan umumkan tawaran harga muktamad untuk membeli tanah milik penduduk Kampung Baru, kalau lebih daripada harga berkenaan, projek pembangunan dicadangkan di situ tidak menguntungkan kerana kita tidak boleh beli mengikut kadar diminta penduduk sesuka hati tanpa mengambil kira untung rugi.

“Kalau Tun Dr Mahathir setuju supaya kita membeli tanah Kampung Baru pada harga dua hingga lima peratus lebih tinggi, bolehlah, namun sekarang ini saya terikat dengan penilaian harga dibuat JPPH sebelum ini (RM850 sekaki persegi),” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis penyerah kunci rumah mampu milik Residensi Wangsamas, di sini.

Khalid berkata demikian menjawab gesaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan pengumuman Khalid berhubung tawaran kerajaan untuk membeli tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan harga RM850 sekaki persegi.

Najib mempersoalkan nilai tawaran itu dengan harga tanah di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) yang mencecah RM3,000 satu kaki persegi berbanding harga paling tinggi yang ditawarkan oleh kerajaan.

Terdahulu, Khalid mendedahkan tawaran harga oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Najib selaku Perdana Menteri adalah lebih rendah (sekitar RM300 sekaki persegi) berbanding di bawah Pakatan Harapan (PH) sekarang RM850 sekaki persegi.

Malah, Khalid mendakwa pemaju dua projek besar iaitu Projek UDA Legasi dan Rah Residensi pula membeli tanah Kampung Baru dengan harga RM400 per kaki persegi, beberapa tahun lalu.

“Jadi, saya tidak mahu cakap banyak kerana dia (Najib) hanya menawarkan RM300 sekaki persegi dan sekarang saya umumkan tawaran kerajaan untuk membeli tanah Kampung Baru RM850... Lepas itu dia katakan saya tawarkan murah tetapi anda boleh menilai sendiri.

“Tanah untuk projek MRT lain pengiraannya kerana status atau syarat tanah berkenaan tidak lagi tertakluk kepada rezab Melayu. Oleh itu, harga ditetapkan pemaju mengambil kira pasaran semasa yang sebenar.

“Pihak MRT sudah membuat kajian analisis pasaran dan menawarkan harga yang sedemikian kerana tanah berkenaan bebas dari status dan sekatan rizab Melayu,” katanya.

Berita Harian X