Ahad, 22 September 2019 | 7:30pm

Nestle guna penyedut minuman berasas kertas

KUALA LUMPUR: Nestle Malaysia menjadi syarikat pengeluar makanan dan minuman pertama memperkenalkan penyedut minuman berasaskan kertas terhadap produknya, selari usaha memerangi penghasilan bahan buangan plastik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols, berkata penyedut minuman diperbuat daripada kertas dibekalkan pada pek minuman Milo UHT 125 mililiter (ml) itu akan dikeluarkan sepanjang tempoh suku keempat tahun ini, sekali gus bakal menghapuskan penghasilan 40 juta penyedut minuman plastik.

“Mengurangkan bahan buangan plastik dan menangani kesan perubahan cuaca menerusi penggunaan teknologi serta reka bentuk produk, selain menggarap usaha ke arah mendidik pengguna sentiasa menjadi keutamaan kami.

“Ini sumbangan terkini daripada pengurusan Nestle, selari komitmen memastikan 100 peratus bahan pembungkusan produk kami berupaya dikitar dan digunakan semula menjelang 2025.

“Kami berhempas pulas merangka penyelesaian supaya ia bukan sekadar berkesan, tetapi menepati standard kualiti produk Nestle demi menjaga aspek keselamatan pengguna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestle Malaysia, Ng Su Yen, pula berkata pihaknya mengutamakan pertimbangan beberapa faktor dalam menukar penggunaan penyedut minuman berasaskan plastik dengan yang diperbuat daripada kertas.

“Ia bukan tugas mudah kerana kita harus memastikan penyedut minuman baharu ini diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi yang menepati piawaian pembungkusan, malah kekal utuh ketika digunakan dan tidak memberi kesan negatif kepada pengguna.

“Kita juga perlu mengenal pasti pembekal dengan keupayaan memenuhi standard pada kuantiti penghasilan yang tinggi,” katanya.

Susulan usaha perintis berkenaan, Nestle Malaysia menyasarkan penggunaan model pembungkusan sama yang menyediakan penyedut minuman berasaskan kertas akan diperluaskan kepada varian Milo UHT lain secara berfasa, sekali gus menghapuskan penghasilan 200 juta penyedut minuman plastik setahun.

Berita Harian X