Rabu, 25 September 2019 | 10:30am
Dr Noor Azmi menunjukkan memorandum mewakili lebih 4,000 pesawah di Bagan Serai yang akan diserahkan kepada Salahhudin ketika ditemui di Bagan Serai, semalam. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Benih padi sah sukar diperoleh

BAGAN SERAI: Lebih 4,000 pesawah di sini bimbang tidak dapat memulakan musim penanaman padi berikutan kesukaran mendapatkan benih padi sah daripada pembekal seluruh negara.

Ketua Unit Peladang Parit Haji Ali, Muslan Mohd Napiah, berkata perkara itu disebabkan sembilan syarikat pembekal terbabit belum menerima kuota tambahan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membekalkan benih sah kepada pesawah khususnya di Bagan Serai.

“Tarikh air masuk ke sawah bermula esok (hari ini) dan pesawah dijangka bakal memulakan musim menanam padi pada Ahad ini.

“Kami bimbang sebab belum memperoleh benih padi sah dan difahamkan beberapa syarikat pembekal tidak dapat menjual benih kepada pesawah berikutan belum mendapat kelulusan kuota tambahan bagi membekalkannya kepada pesawah.

“Jadi, hal ini menjejaskan pesawah yang akan mengusahakan sawah padi seluas kira-kira 9,824 hektar di kawasan ini pada musim ini,” katanya ketika ditemui dalam perhimpunan aman mendesak isu itu segera diselesaikan di Parit J, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat, berkata pihaknya akan bertemu dengan pegawai Jabatan Pertanian Perak untuk memohon segera menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, di PPK Gunong Semanggol terdapat syarikat yang ada padi benih sendiri namun tidak dapat dibekalkan kepada pesawah kerana tidak memiliki lesen kuota membekalkan benih kepada pesawah.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata akan menyerahkan satu memorandum khas kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahudin Ayub, semalam.

Katanya, selain meminta masalah benih padi diselesaikan segera, memorandum itu turut mengusulkan beberapa lagi kilang membekal benih padi benih dibina bagi mengatasi masalah itu.

“Di Perak, hasil pengeluaran padi semusim adalah sebanyak 113,000 tan metrik dan kita hanya mempunyai satu kilang pembekal benih padi di Seberang Perak.

“Di Selangor pula hasil pengeluaran padi mereka hanya 87,000 tan metrik semusim dan mereka mempunyai tiga kilang membekal benih padi.

“Justeru, Perak wajar mempunyai beberapa lagi kilang bagi membolehkan perkara sebegini dapat diatasi dan diharapkan pihak kementerian dapat mempertimbangkannya,” katanya.

Katanya, kegagalan pihak berkaitan menyelesaikan isu itu boleh mengakibatkan muncul beberapa masalah lain seperti kemasukan benih padi tidak sah di samping membebankan pesawah yang mungkin terpaksa membeli benih padi dari pihak lain pada harga tinggi iaitu antara RM50 hingga RM80 satu beg, berbanding harga subsidi yang dijual pada harga RM34 satu beg.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan negeri, Perak Abdul Yunus Jamhari dalam satu kenyataan ringkas pula berkata, hasil semakan agensi berkaitan mengesahkan kawasan Bagan Serai mengalami masalah kekurangan benih padi sebanyak 10 hingga 20 tan metrik.

Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada kementerian terbabit dan kini dalam tindakan penyelesaian.

Berita Harian X