Rabu, 25 September 2019 | 11:51am
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Sudah mohon kuota tambahan benih padi sah - Salahuddin

KUALA LUMPUR: Penyusunan semula kuota sebanyak 2,500 tan benih padi sah bagi menampung keperluan pesawah di Perak, sudah dikemukakan dan kini dalam pertimbangan Kementerian Kewangan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata pihaknya mengambil maklum isu kegagalan pesawah terbabit memulakan musim penanaman padi kerana tidak mendapat bekalan benih padi sah daripada syarikat berkaitan.

Justeru, beliau menyuarakan komitmen bahawa kemelut berupaya menjejaskan kadar pengeluaran hasil padi negara itu, akan diselesaikan secepat mungkin.

“Kita sedar dan prihatin mengenai isu ini. Sehubungan itu, kementerian sudah pun menghantar permohonan (penyusunan semula kuota benih padi) kepada Kementerian Kewangan dan ia dijangka dapat diselesaikan seberapa segera.

“Setakat ini, (pengagihan benih padi sah kepada syarikat pembekal selepas penyusunan semula) belum mendapat kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan lebih 4,000 pesawah di Bagan Serai, Perak, bimbang tidak dapat memulakan musim penanaman padi berikutan kesukaran mendapat benih padi sah daripada pembekal seluruh negara.

Ketua Unit Peladang Parit Haji, Muslan Mohd Napiah, dipetik sebagai berkata ia berikutan sembilan syarikat pembekal terbabit belum menerima kuota tambahan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membekalkan benih padi sah kepada pesawah, khususnya di Bagan Serai.

Susulan itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, dilaporkan berkata akan menyerahkan satu memorandum khas kepada Salahuddin, selain mencadangkan supaya beberapa lagi kilang membekal benih padi dibina bagi mengatasi masalah berkenaan.

FELCRA Berhad dilaporkan berhasrat menyerahkan semula baki kuota 2,500 tan daripada peruntukan asal iaitu 6,500 tan benih padi sah kepada pembekal lain, tahun ini.

Susulan itu, Bahagian Industri Beras Padi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membuat penyusunan semula pengagihan kuota 2019 bagi tiga syarikat pembekal, iaitu Syarikat Pertama Padi, Syarikat Kilang Beras Jelapang Selatan serta Syarikat Kilang Beras Sri Merbok.

Pengagihan semula kuota berkenaan difahamkan bertujuan untuk membolehkan pembekalan dilaksana segera pada harga subsidi.

Berita Harian X