Rabu, 25 September 2019 | 3:07pm
Koordinator Forum Kedaulatan Makanan, Nurfitri Amir Muhammad (kanan), pada sidang media mengenai bantahan terhadap penyertaan Malaysia dalam Konvensyen UPOV 1991. - Foto Supian Ahmad

21 NGO bantah Malaysia sertai Konvensyen UPOV 1991

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membatalkan keputusan pentadbiran terdahulu berhubung penyertaan Malaysia dalam Konvensyen Kesatuan Antarabangsa Bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV) 1991.

Sebanyak 21 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pertanian, ekonomi dan kepenggunaan, menyatakan bantahan terhadap penyertaan Malaysia dalam konvensyen itu yang disifatkan hanya memberi keuntungan kepada syarikat besar serta menafikan hak petani tempatan.

Koordinator Forum Kedaulatan Makanan yang juga salah satu NGO berkenaan, Nurfitri Amir Muhammad, mendakwa Konvensyen UPOV 1991 akan memberi hak monopoli kepada pembiak baka komersial terhadap tumbuhan varieti baharu yang didaftarkan.

“Kebimbangan utama yang akan dibawa dalam sistem UPOV ini ialah penafian hak petani terhadap amalan kebebasan menyimpan, berkongsi dan menjual benih dihasilkan sendiri; menggalakkan monopoli; memudahkan kegiatan ‘bio-piracy’ dan boleh membawa kepada kehilangan kearifan tempatan.

“Sistem UPOV hanya menyokong proses perindustrian yang terbukti mengakibatkan kerosakan dan kehilangan kesuburan tanah, membawa kepada kerintangan antimikrob akibat penggunaan antibiotik berlebihan, hasil kurang nutrisi serta tidak lestari dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mewakili NGO terbabit pada sidang media, di sini, hari ini.

Nurfitri berkata, berdasarkan laporan dibentangkan Malaysia pada Forum Persatuan Perlindungan Varieti Tumbuhan Asia Timur, Kabinet pada 2015 membuat keputusan untuk memansuhkan akta berkaitan sedia ada, iaitu Akta Perlindungan Baru Tumbuhan (PVP) 2004, supaya selari dengan Konvensyen UPOV 1991.

“Akta PVP 2004 sudah baik, cuma perlu ditambah baik. Akta ini memaparkan ciri unik yang mengimbangi kepentingan berbeza, iaitu kepentingan awam, pembiak baka tumbuhan komersial, pembiak baka awam dan petani kecil.

“Sistem UPOV akan memaksa Malaysia menghapuskan ciri Akta PVP 2004 kerana sistem dipraktikkan UPOV mengguna pakai sistem universal yang didapati cenderung kepada aturan kepentingan guna pakai di Eropah dan negara maju lain, yang tidak sesuai dilaksanakan di negara membangun,” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan mengenai pemansuhan Akta PVP 2004 sudah disuarakan kepada kementerian dan satu sesi rundingan diadakan bersama pihaknya yang diharap diteruskan pada masa akan datang.

“Apa juga keputusan diambil kerajaan mestilah tidak mengabaikan jaminan bekalan makanan, hak dan akses kepada makanan berkhasiat, cukup serta mampu dimiliki rakyat,” katanya.

Berita Harian X