Rabu, 25 September 2019 | 3:21pm
Moderator, Sabaruddin Ahmad Sabri (kanan) bersama Pengurus Pembangunan Perniagaan PBS, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff (dua dari kanan); Setiausaha Agung MTUC, J Solomon serta Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman (kiri) pada program Bicara BH bertajuk ‘Belanjawan 2020: Apa Tuntutan ekonomi, Apa Kehendak Rakyat’. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kerajaan perlu tolak propaganda 'gaji naik, harga barang naik' - MTUC

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu keluar daripada kepompong pemikiran yang menganggap harga barangan akan naik secara automatik apabila gaji pekerja meningkat.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon, berkata dalam merangka Belanjawan 2020, kerajaan tidak boleh terikat dengan pemikiran berbentuk propaganda itu supaya inisiatif yang memberi kesan langsung pada pendapatan golongan pekerja dapat dilaksanakan.

Katanya, dalam keadaan kos sara hidup tinggi ketika ini, gaji dan upah yang diterima golongan pekerja tidak memadai untuk menampung perbelanjaan harian.

“Kerajaan lalu atau sekarang selalu mengatakan jika gaji dinaikkan, harga barang akan naik secara automatik.

“Sudah tiba masanya kerajaan keluar daripada pemikiran lama ini. Ini adalah propaganda yang tidak membawa manfaat kepada warga pekerja,” katanya pada program Bicara BH bertajuk ‘Belanjawan 2020: Apa Tuntutan ekonomi, Apa Kehendak Rakyat’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Berita Harian Online, hari ini.

Program itu turut menampilkan Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu ( MTEM), Ahmad Yazid Othman, sebagai ahli panel.

Mengulas lanjut, Solomon berkata pendedahan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philip Alston, baru-baru ini bahawa kadar kemiskinan negara ketika ini tidak tepat, perlu diambil kira dalam menentukan semula kadar gaji minimum di Malaysia.

“Dalam menentukan kadar gaji minimum, kadar Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) turut diambil kira sebagai faktor utama.

“Ini bermakna, sejak sekian lama golongan pekerja ditipu (dalam penetapan gaji minimum). Kami harap dalam Belanjawan 2020, kerajaan akan memperbetulkan perkara ini,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan pemberian elaun kos sara hidup (COLA) bulanan RM500 kepada pekerja swasta serta had usia bersara dinaikkan kepada 65 tahun.

Sementara itu, Ahmad Yazid mencadangkan kerajaan merangka satu dasar yang ‘memaksa’ golongan korporat berkongsi lebih pendapatan dengan golongan pekerja bawahan.

“Golongan korporat ambil keuntungan lebih (berbanding berkongsi dengan pekerja).

“Jika diwujudkan dasar yang dapat memaksa mereka berkongsi lebih gaji kepada pekerja, kita mungkin tidak perlukan gaji minimum pun, selain ia akan mengubah suasana ekonomi,” katanya.

Berita Harian X