Rabu, 25 September 2019 | 4:11pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - NSTP/Khairunisah Lokman
Ahli perniagaan paling dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low.

Jho Low akan dibawa pulang hujung tahun - Abdul Hamid

SHAH ALAM: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berharap dapat membawa pulang ahli perniagaan paling dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low ke negara ini, selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin Jho Low kini mendapat perlindungan daripada pihak tertentu dan bebas bergerak selain boleh menjalankan perniagaan tanpa sebarang sekatan.

“Kami tahu di mana dia berada. Begitu juga dengan empat lima individu yang menjadi konconya,” katanya pada program Bicara Minda Bersama Tan Sri Abdul Hamid Bador, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, proses rundingan dengan pihak yang memberi perlindungan itu masih berjalan sehingga kini.

Katanya, beliau juga ingin mengingatkan kepada pihak yang melindungi Jho Low bahawa individu itu dikehendaki bukan disebabkan kaitan politik sebaliknya membabitkan kesalahan jenayah komersial yang dianggap terbesar.

“Ini berkaitan jenayah tetapi mengapa pihak di sana tidak mahu berikan kerjasama. Polis sudah meningkatkan usaha supaya mereka akur,” katanya.

Abdul Hamid turut menganggap Jho Low adalah individu paling licik dan mempunyai agenda jahat berikutan individu itu menggunakan wang bagi membeli pengaruh selain memberikan rasuah untuk kepentingan sendiri.

Berita Harian X