Rabu, 25 September 2019 | 8:00pm

PTG Hulu Selangor musnahkan tanaman, sita aset penceroboh tanah

HULU SELANGOR: Pentadbir Tanah dan Galian (PTG) Hulu Selangor akan menjalankan operasi dalam tempoh terdekat, untuk memusnahkan tanaman dan menyita aset milik warga asing yang menceroboh tanah kerajaan di Bukit Beruntung, di sini.

Pegawai Daerahnya, Musa Ramli, berkata mesyuarat khas bersama beberapa agensi berkaitan berhubung pelaksanaan operasi itu akan diadakan pada minggu ini.

“Beberapa agensi antaranya Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor Sdn Bhd dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan hadir dalam mesyuarat khas itu nanti.

“Antara perkara yang akan dibincangkan ialah persediaan logistik untuk menyimpan aset penceroboh, seperti peralatan berkebun sayur dan jentera pembajak,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Musa berkata, dalam operasi yang dijalankan itu pihaknya akan memotong bekalan air dan elektrik digunakan penceroboh tanah terbabit.

“Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan segera demi memastikan semua pihak, termasuk warga asing tidak lagi menceroboh tanah kerajaan untuk kepentingan peribadi.

“Penceroboh tanah kerajaan tidak akan terlepas daripada hukuman setimpal mengikut undang-undang yang diperuntukkan,” katanya.

Ahad lalu, BH melaporkan 26 pekebun sayur warga asing, termasuk 23 dari Bangladesh ditahan Jabatan Imigresen.


Keratan akhbar BH pada 8 September lalu.

Dalam operasi jam 6 pagi itu, 160 anggota penguat kuasa Imigresen mengepung kawasan kebun sayur seluas 60 hektar, yang dipercayai diteroka secara haram sejak 10 tahun lalu.

Sebelum ini, BH melaporkan kedegilan warga asing menceroboh tanah kerajaan dan persendirian di Bukit Beruntung di sini, terserlah apabila notis pengosongan kawasan dikeluarkan PTG Hulu Selangor tak diendahkan.

Meskipun papan dengan notis pengosongan kawasan dipacak atas tanah yang diceroboh, tinjauan BH mendapati kerja pembangunan tanah untuk kebun sayur masih dijalankan, tanpa ada tanda mereka akan berhenti daripada melakukan aktiviti itu atau keluar dari situ.

Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah itu sudah dikeluarkan oleh PTG Hulu Selangor terhadap semua penceroboh terbabit mengikut Seksyen 425 dan 426A(1)(a), (b) dan (c) Kanun Tanah Negara 1963 sejak 29 Julai lalu.

Menerusi notis itu, semua penceroboh diberi tempoh 14 hari untuk meninggalkan kawasan berkenaan, bersama semua peralatan dan kelengkapan yang dibawa ke situ selama ini.

Berikutan itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, mengarahkan PTG Hulu Selangor mengambil tindakan segera, berikutan pencerobohan berterusan warga asing di tanah kerajaan serta persendirian di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

Berita Harian X