Rabu, 25 September 2019 | 8:15pm
Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Moderator, Sabaruddin Ahmad Sabri (kanan) bersama Pengurus Pembangunan Perniagaan PBS, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff (dua dari kanan); Setiausaha Agung MTUC, J Solomon serta Ketua Pegawai MTEM, Ahmad Yazid Othman (kiri) pada program Bicara BH bertajuk ‘Belanjawan 2020: Apa Tuntutan ekonomi, Apa Kehendak Rakyat’. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Moderator, Sabaruddin Ahmad Sabri (kanan) bersama Pengurus Pembangunan Perniagaan PBS, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff (dua dari kanan); Setiausaha Agung MTUC, J Solomon serta Ketua Pegawai MTEM, Ahmad Yazid Othman (kiri) pada program Bicara BH bertajuk ‘Belanjawan 2020: Apa Tuntutan ekonomi, Apa Kehendak Rakyat’. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Syor pembiayaan rumah mampu milik tanpa faedah

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang memperkenalkan skim pembiayaan rumah mampu milik tanpa melalui bank kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan pertengahan (M40), dalam Belanjawan 2020.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pembiayaan dikenali sebagai Musyarakah Mutanaqisah itu, memudahkan golongan B40 dan M40 membeli rumah mampu milik kerana ia tidak membabitkan faedah atau riba.

“Ketika ini, jika nak beli rumah mampu milik berharga RM200,000, kos pembiayaan yang dikenakan mungkin sekitar RM200,000 juga, menyebabkan jumlah pinjaman perlu dibayar peminjam adalah RM400,000.

“Kerajaan boleh laksanakan pembiayaan menggunakan sistem Musyarakah Mutanaqisah, iaitu rakyat beli (pada harga) 10 peratus dulu, kemudian bayar sewa sedikit demi sedikit (yang berakhir dengan pemilikan rumah), tanpa membabitkan faedah.

“Jika inisiatif rumah mampu milik diteruskan dalam Belanjawan 2020, pembiayaannya perlu menggunakan konsep ini tanpa membabitkan bank,” katanya pada program Bicara BH bertajuk ‘Belanjawan 2020: Apa Tuntutan ekonomi, Apa Kehendak Rakyat’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Berita Harian Online, hari ini.

Program itu turut menampilkan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu ( MTEM), Ahmad Yazid Othman sebagai ahli panel.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, penggunaan kaedah itu penting bagi membantu M40 dan B40 memiliki rumah kerana faedah atau riba adalah antara kos yang menyebabkan rakyat tidak mampu membeli rumah.

“Insentif pemaju selama ini untuk membolehkan rakyat ‘mampu miliki rumah’ pula hanya menguntungkan mereka, bank dan spekulator, tidak menguntungkan pemilik rumah,” katanya.

Sementara itu, Solomon mencadangkan supaya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meminjamkan sejumlah dananya kepada bank supaya dapat menyediakan pinjaman perumahan dengan faedah serendah satu hingga dua peratus kepada pencarum B40 dan M40.

“Ini dana pekerja dan sewajarnya ia digunakan untuk kepentingan mereka, di samping pemaju dan bank melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu mereka memiliki rumah,” katanya.

Ahmad Yazid pula menggesa kerajaan memberi fokus membina satu juta rumah mampu milik dalam Belanjawan 2020 dengan memastikan pemaju adalah dalam kalangan kontraktor tempatan, khususnya Bumiputera.

“Pembinaan sejuta rumah mampu milik sebegini bukan saja membantu rakyat memiliki rumah, tapi juga menghasilkan lonjakan ekonomi kerana ia akan menghasilkan banyak subkontraktor yang mendapat hasil daripada projek berskala besar ini,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X