Rabu, 25 September 2019 | 9:13pm
HAIWAN liar seberat 76 kilogram itu dan berusia sekitar tujuh tahun diselamatkan oleh anggota Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Beruang matahari diselamatkan

KUCHING: Desakan orang ramai akhirnya menyelamatkan seekor beruang matahari yang dikurung di sebuah rumah dekat Demak Laut di sini semalam.

Haiwan liar seberat 76 kilogram itu dan berusia sekitar tujuh tahun diselamatkan oleh anggota Sarawak Forestry Corporation (SFC) walaupun pemiliknya mempunyai permit berbuat demikian.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata, walaupun pemiliknya mempunyai permit daripada Kontroler Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak (JHS), dia sudah melanggar beberapa terma dan syarat lesen.


ANGGOTA Sarawak Forestry Corporation (SFC) menyelamatkan seekor beruang matahari yang dikurung di sebuah rumah dekat Demak Laut. NSTP/Courtesy of Sfc

“Pasukan kami datang menyelamatkan beruang matahari itu pada jam 2.30 petang dan dibawa terus ke Pusat Hidupan Liar Matang untuk pemeriksaan kesihatan segera.

“Selepas dikurung beberapa tahun, beruang matahari itu perlu menjalani program pemulihan sebelum dapat dilepaskan ke habitat asal,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sepasukan anggota penguat kuasa SFC melancarkan operasi itu selepas gambar haiwan terlindung berkenaan tular di media sosial.

Bagaimanapun, Zolkipli enggan mengulas kenapa lesen itu dikeluarkan kerana ia berada di bawah bidang kuasa JHS.

Beliau berkata, haiwan berkenaan dilindungi mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998.

“Membunuh, menyimpan, menjual dan membeli haiwan itu adalah dilarang dan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama setahun dan denda RM10,000.

“Permit atau lesen boleh dipohon tetapi perlu mematuhi terma dan syarat. Sesiapa yang memiliki haiwan yang dilindungi atau dilindungi sepenuhnya secara haram perlu menyerahkannya kepada pihak berkuasa sebelum tindakan diambil,” katanya.

Beliau berharap individu yang menjaga haiwan dilindungi di bawah lesen untuk sukarela menyerahkannya kepada SFC sebelum timbulnya masalah lain.

“SFC juga ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu pihak berkuasa menangani perdagangan hidupan liar secara haram dan pembalakan haram di Sarawak,” katanya.

Berita Harian X