Khamis, 26 September 2019 | 11:14am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada sesi dialog sempena Forum Kepemimpinan Dunia University Columbia, di New York, semalam. - Foto BERNAMA

Kontrak, peluang untuk Bumiputera lebih 'ketat' - PM

NEW YORK: Kerajaan akan lebih peka dalam mengendalikan saringan terhadap pemberian kontrak dan peluang kepada peniaga Bumiputera bagi menangani isu ketirisan dasar kuota, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri ketika menegaskan perkara itu berkata, pendirian itu harus diambil supaya setiap kontrak yang dianugerahkan kepada pihak berkaitan dilaksana mengikut garis panduan dan sekiranya gagal, ia boleh ditarik balik.

“Hakikatnya kekal sama, iaitu Melayu masih ketinggalan berbanding orang Cina, justeru kalau nak kata dasar ini (kuota Bumiputera) tidak membantu adalah salah kerana ramai yang mendapat pertolongan dan mampu menempa kejayaan.

“Contohnya, sebelum ini biasiswa hanya diberikan kepada pelajar cemerlang, namun kita memutuskan untuk beri juga keistimewaan itu kepada nombor dua, tiga dan empat, tetapi mereka berjaya,” katanya pada sesi dialog sempena Forum Kepemimpinan Dunia University Columbia, di sini, semalam.

Mengambil contoh lain, Dr Mahathir berkata, kejayaan sama turut dilakar menerusi kerjaya doktor perubatan apabila golongan Melayu yang sebelum ini hanya mewakili dua peratus daripada kelompok profesional itu menyaksikan peningkatan semasa kepada hampir 40 peratus.

Sehubungan itu, katanya, dasar berkenaan berupaya menyelesaikan isu ketidakseimbangan dalam melahirkan doktor perubatan mengikut pecahan kaum, malah kesan sama turut berupaya dihasilkan dalam kerjaya lain seperti dunia usahawan.

“Kita masih perlukan dasar ini untuk menyelesaikan isu jurang perbezaan membabitkan golongan miskin dan kaya. Tanpa dasar ini, apa jalan lain yang kita nak lakukan demi merungkai permasalahan ini?

“Sekiranya dibiarkan berlarutan, jurang perbezaan ini akan meruncing sehingga akhirnya mencetuskan ketegangan antara kaum, selain golongan miskin dan kaya,” katanya.

Menyelami kisah kejayaan Malaysia menangani ketegangan kaum, Perdana Menteri berkata, polemik sedemikian lazimnya tercetus apabila wujud jurang perbezaan antara golongan miskin dan kaya.

Katanya, situasi berkenaan berupaya menjadi lebih parah apabila ia membabitkan kaum berbeza sehingga mengundang risiko berlakunya keganasan, justeru ‘kunci’ perubahan yang perlu dirintis ialah bukan identiti kaum seseorang, sebaliknya prestasi ekonomi mereka.

“Contohnya, kita bantu kelompok yang lemah untuk mampu bersaing dan menyaingi komuniti kaya. Itu usaha kita menerusi dasar tindakan pengukuhan. Ia sukar kerana golongan miskin lazimnya tidak mempunyai kemahiran menggunakan peluang sedia ada dan modal bagi mengembangkan kekayaan mereka.

“Oleh itu, kita harus memberikan pertimbangan bersesuaian seperti memperuntukkan latihan, pendidikan dan melindungi mereka,” katanya.

Berita Harian X