Khamis, 26 September 2019 | 3:03pm
HUJAN hasil operasi pembenihan awan ia tidak menjejaskan kesihatan. - Foto hiasan

Hujan hasil pembenihan awan tidak jejas kesihatan

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak perlu bimbang dengan hujan hasil operasi pembenihan awan (OPA) kerana ia tidak menjejaskan kesihatan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon, berkata pihaknya menggunakan kaedah pembenihan basah melalui garam dengan kandungannya natrium klorida atau jenis garam masakan dilarutkan dalam air.

Jabatan itu menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk melaksanakan tugasan berkenaan.

“Orang ramai tidak perlu bimbang hujan itu tidak menjejaskan kesihatan. Proses pembenihan basah ini, air garam disemburkan ke dalam awan yang sesuai untuk menjadi nukleus dan menarik wap air dalam awan untuk membentuk titik hujan.

“Kaedah ini lebih sesuai untuk pembenihan awan bagi kawasan luas dan menggunakan pesawat yang lebih besar (pesawat TUDM) kerana ia membawa tangki air garam agak berat,” katanya.

Jailan berkata MetMalaysia juga menggunakan kaedah pembenihan kering iaitu ‘hygroscopic flares’ yang diletakkan di tempat khusus di sayap pesawat.

Katanya, hygroscopic flares sesuai digunakan di kawasan kurang luas dan menggunakan pesawat lebih kecil seperti jenis Cessna.

“MetMalaysia hanya guna sekali (kaedah pembenihan kering) semasa jerebu di Lembah Klang baru-baru ini,” katanya sambil menjelaskan hujan pada Selasa dan semalam tiada kaitan dengan OPA.

Jailan berkata pada masa ini, MetMalaysia menangguhkan OPA memandangkan hujan semula jadi sejak dua hari lalu.

Beliau berkata sepanjang musim jerebu kali ini, enam OPA dilakukan membabitkan tiga kali di Sarawak (Kuching, Samarahan, Serian, Sarikei, Betong dan Sri Aman) serta tiga di Semenanjung (Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Pulau Pinang).

Dalam pada itu, Jailan berkata OPA turut dilakukan bagi meningkatkan paras air empangan untuk bekalan air atau pertanian.

“Contohnya, ketika musim kemarau, kami biasanya diminta untuk membuat pembenihan awan di kawasan pertanian seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi meningkatkan paras air di empangan Muda dan Pedu bagi tujuan pertanian.

“MetMalaysia juga sering diminta membantu membuat pembenihan awan bagi meningkatkan paras empangan seperti di negeri yang menghadapi masalah bekalan air,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X