Khamis, 26 September 2019 | 8:00pm
Semalam, BH melaporkan lebih 4,000 pesawah di Bagan Serai, Perak bimbang tidak dapat memulakan musim penanaman padi berikutan kesukaran mendapat padi sah daripada pembekal seluruh negara.

Bekalan benih padi sah: Kuota tambahan tunggu kelulusan

KUALA LUMPUR: Penyusunan semula kuota tambahan terhadap bekalan benih padi sah sebanyak 2,500 tan bagi menampung keperluan pesawah di Perak sudah dikemuka dan kini dalam pertimbangan Kementerian Kewangan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata pihaknya mengambil maklum berhubung isu kegagalan pesawah memulakan musim penanaman padi kerana tidak mendapat bekalan benih sah daripada syarikat berkaitan.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan komitmen bahawa kemelut yang berupaya menjejaskan pengeluaran hasil padi negara berkenaan akan diselesaikan secepat mungkin.

“Kita sedar dan prihatin mengenai isu ini (pesawah tidak mendapat bekalan padi sah untuk memulakan musim penanaman), justeru kementerian sudah menghantar permohonan kepada Kementerian Kewangan dan ia dijangka dapat diselesaikan segera.

“Setakat ini, (kuota tambahan benih padi sah kepada syarikat pembekal) belum mendapat kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Semalam, BH melaporkan lebih 4,000 pesawah di Bagan Serai, Perak bimbang tidak dapat memulakan musim penanaman padi berikutan kesukaran mendapat padi sah daripada pembekal seluruh negara.

Ketua Unit Peladang Parit Haji, Muslan Mohd Napiah, yang merintih mengenai isu itu berkata, ia disebabkan sembilan syarikat pembekal terbabit belum menerima kuota tambahan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membekalkan benih padi sah kepada pesawah, khususnya di Bagan Serai.

Susulan isu terbabit, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, dilaporkan berkata akan menyerahkan satu memorandum khas kepada Salahuddin, selain mencadangkan supaya beberapa lagi kilang membekal benih padi dibina bagi mengatasi masalah terbabit.

Berita Harian X