Jumaat, 27 September 2019 | 9:00am
Pelajar sekolah di daerah Sepang mendengar penerangan kepentingan menjaga kebersihan di tempat awam seperti KLIA dan klia2. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

MAHB tingkat kesedaran sivik kebersihan tandas

SEPANG: Seiring seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kesedaran sivik membabitkan kebersihan tandas, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) turut memperkenalkan kempen ‘Balas Kebaikan Dengan Kebaikan’ kepada setiap orang.

Kempen itu dilaksanakan sejak 2017, mempromosikan etika di dalam tandas di lapangan terbang yang dianggap sebagai pintu utama kepada pelancong luar, datang ke negara ini.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat MAHB, Nik Anis Nik Zakaria, berkata etika kebersihan tandas ini perlu disebar untuk memastikan ia dipraktikkan, sekali gus melambangkan tahap sivik seseorang itu.

Katanya, selain menyebarkan mesej kepada orang ramai, ia turut dilaksanakan kepada lebih 800 pelajar di 10 sekolah di sekitar Sepang sejak kempen itu bermula bagi mendidik mereka daripada kecil mengenai etika berkenaan.

“Apabila kesedaran ini dididik dari peringkat awal, secara tidak langsung mereka akan memahami kepentingan kebersihan tandas, memberi tindak balas dan akhirnya menyebarkan mesej berkenaan.

“Bagi memastikan mereka memahami dan aplikasi setiap pengetahuan diperoleh, pihak MAHB turut akan mengadakan pertandingan mengarang kepada pelajar dan kebersihan tandas secara keseluruhan serta memilih seorang pemenang daripada setiap sekolah yang terbabit.


Pekerja sentiasa memastikan tandas di KLIA dan klia2 sentiasa bersih. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

“Menariknya mengenai pertandingan ini, hadiah kepada pemenang akan disampaikan pada 19 November ini iaitu pada Hari Tandas Sedunia.

“Tahun lepas kami sampaikan hadiah pada perhimpunan sekolah,” katanya.

Kempen dilaksanakan MAHB ini turut disokong Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan mendapat kerjasama daripada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Majlis Perbandaran Sepang.

10 sekolah yang terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Jenderam Hilir, SK Bukit Changgang, SK Jenderam, SK Salak, SK Taman Seroja, SK Kota Warisan, SK Sungai Melut (A), SK KLIA, SK Bandar Baru Salak Tinggi dan SK Kg Baharu Lanjut.

Nik Anis berkata, dengan usaha dilakukan MAHB ini, beliau berharap ia akan memberi kesedaran sivik yang tinggi kepada setiap orang, sekali gus membalas kebaikan dalam setiap kebaikan yang disebarkan MAHB kepada semua.

“Pada masa akan datang, kita berharap dapat melakukan kempen ini dalam skala besar dan bekerjasama dengan KPM juga.

Nik Anis berkata, ada 132 tandas penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan 106 tandas penumpang di KLIA2. Kesemua tandas penumpang dilengkapi dengan Customer Realtime Feedback (CrFss) yang membolehkan penumpang memberi maklum balas. Sistem Washroom Response Management System (WRMS) akan memantau maklum balas penumpang, sama ada ‘teruk’ atau ‘sangat teruk’ dan apabila pasukan teknikal menerima maklumat, mereka akan segera mengatasi permasalahan.


Murid dari SK Kg Baharu Lanjut ketika menyertai kempen kebersihan tandas ‘Balas Kebaikan Dengan Kebaikan’ kepada setiap orang di KLIA. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

“Setiap sejam sekali, hampir 200 pengguna menggunakan tandas, jadi pasukan kami perlu memastikan tandas di KLIA dan klia2 adalah terbaik. Dengan adanya sistem WRMS ini, kami juga berjaya memenangi Best Asean Public Terminal Toilet 2018 oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC),” katanya.

Bagi pelajar sekolah SK Kg Baharu Lanjut, Nur Danisha Husna Nasrol, 10, berkata ini kali pertama beliau dibawa melawat tandas KLIA dan ternyata ia memberi pengalaman baharu kepadanya.

“Biasanya tandas awam yang saya pernah guna berbau busuk, basah dan tidak bersih. Namun, tandas di KLIA ini sangat berbeza kerana ia wangi, bersih, kering dan selesa digunakan.

“Dengan ilmu dikongsi oleh kakitangan di lapangan terbang ini, saya akan mengamalkan etika di dalam tandas dan menegur kawan yang salah ketika menggunakan tandas,” katanya.

Begitu juga rakannya, Nur Zahirah Natifah Zaihan, 10, berkata sebelum ini beliau tidak mengetahui cara tepat menggunakan tandas, apatah lagi sering melihat sikap sambil lewa ditunjukkan orang ramai ketika menggunakan tandas awam.

“Kali ini saya baru memahami kepentingan etika berada di dalam tandas supaya orang seterusnya yang ingin menggunakannya dapat menggunakan dengan selesa.

“Saya berharap setiap orang dapat bekerjasama dalam memastikan tandas awam kita sentiasa bersih,” katanya.

Berita Harian X