Jumaat, 27 September 2019 | 11:32am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Industri produk halal bergerak ke peringkat sejagat - PM

SARAJEVO: Industri halal kini jauh melebihi industri berorientasikan umat Islam apabila pengeluaran produk itu bergerak ke peringkat sejagat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika berucap melalui persidangan video sempena Pesta Halal Sarajevo (SHF) anjuran Bank Antarabangsa Bosnia, Perdana Menteri berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, potensi besar pelaburan industri halal sudah terbukti.

Dr Mahathir turut menyuarakan harapan agar pesta itu menjadi titik pertemuan tradisional industri halal.

Pameran industri halal antarabangsa itu berlangsung selama tiga hari di ibu kota Bosnia ini, bermula semalam, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Anadolu adalah rakan kongsi komunikasi global bagi SHF anjuran Bank Antarabangsa Bosna.

SHF, pesta halal kedua yang pernah berlangsung di Sarajevo – menjadi tuan rumah kepada kira-kira 100 pempamer dari 36 negara.

Antara peserta di pesta ini, Israfil Kuralay, Naib Presiden Dewan Perniagaan Istanbul, berkata pasaran produk halal sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menjadi pasaran yang amat luar biasa.

Kuralay berkata, pembabitan Turki dalam industri makanan halal meningkat hampir 100 peratus setiap tahun.

“Kami menyedari kepentingan Bosnia dan Herzegovina dalam sektor ini. Saya yakin bahawa pelaburan dan projek bersama akan menjadi sangat bermanfaat,” katanya.

Pesta itu akan membolehkan peserta dari negara Balkan seperti Serbia, Slovenia dan Albania selain Turki, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Malaysia dan negara Kesatuan Eropah memperkenal produk makanan halal.

Ia akan berakhir esok dengan majlis Anugerah Pesta Halal Sarajevo untuk peserta paling berjaya. – BERNAMA

Berita Harian X