Jumaat, 27 September 2019 | 12:15pm
KETUA Pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed menyampaikan ucaptama pada 'Forum Perolehan Bebas Rasuah Aspirasi Kita' di Institut Integriti Malaysia. - Foto Mustaffa Kamal

Jual kontrak bakal jadi kesalahan jenayah

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang yang memperuntukkan penjualan kontrak projek oleh sesiapa sahaja adalah satu kesalahan jenayah.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata pihaknya serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses mendrafkan peruntukan undang-undang terbabit.

Beliau berkata, perkara itu ialah antara perubahan besar yang pihaknya mahu lakukan dalam usaha membanteras rasuah membabitkan perolehan kontrak.

“Kita mahu draf undang-undang bahawa sesiapa saja yang menjual projek adalah menjadi satu kesalahan jenayah.

“Ini kerana tindakan itu menyebabkan kos kontrak meningkat. Contohnya, akan ada peratusan diberikan kepada pelobi yang akhirnya, nilai kontrak sebenar mungkin hanya perlu 70 peratus yang patut diberikan kepada kontraktor.

“Jika kontrak diperoleh pihak tiada kemahiran, sudah pasti ia juga memberi kesan seperti projek terbengkalai,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Perolehan Awam Bebas Rasuah: Aspirasi Kita, di sini, hari ini.

Forum dihadiri lebih 200 peserta daripada kementerian, agensi dan jabatan sektor awam itu dianjurkan Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Yang turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Nor’afiza Saim, dan Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel.

Seterusnya, Abu Kassim berkata, jika mahu membina Malaysia Baharu, negara perlu membuat perubahan.

Ketika ditemui media selepas program itu pula, Abu Kassim berkata, pihaknya menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat pengumuman mengenai perkara berkenaan.

“Biar kerajaan umum, tadi saya hanya memaklumkan kepada peserta seminar. Apa-apa perkara akan dibawa kepada Jawatankuasa Khas Kabinet,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan berbincang lanjut selepas SPRM dan pihak berkaitan bersedia.

“Perbincangan dibuat dengan SPRM dan mereka kata akan mempercepatkan proses ini (draf undang-undang),” katanya.

Berita Harian X