Jumaat, 27 September 2019 | 1:15pm
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.

Kerajaan risau penurunan pelajar pilih aliran STEM

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) bimbang dengan penurunan jumlah pelajar yang memilih aliran pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah.

Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata jumlah pelajar di universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengambil jurusan terbabit juga menunjukkan perbezaan ketara berbanding jurusan lain, menyebabkan negara kekurangan bakat untuk diserap ke industri.

Sehubungan itu, katanya, Program Pendidikan ESTECC (program pendidikan dalam bidang tenaga, sains teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim) adalah antara inisiatif MESTECC mendedahkan murid dan pelajar untuk memilih aliran pendidikan serta kerjaya dalam bidang sains dan teknologi.

“Statistik Kementerian Pendidikan menunjukkan pelajar mengambil STEM menurun setiap tahun, jadi kita perlu cungkil minat pelajar.

“Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan, pada 2018 pelajar memilih aliran STEM ialah 44 peratus berbanding 48 peratus pada 2012, iaitu penurunan empat peratus. Nampak kecil tetapi setiap tahun menurun 6,000 pelajar.

“Untuk UA dan IPT, pada 2017 pelajar yang jurusan sains, matematik, kejuruteraan dan pembinaan ialah 334,742 orang, berbanding 570,858 bagi bidang lain, maka bakat yang dihasilkan di universiti serta IPT tak mencukupi untuk menampung keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Program Pendidikan ESTECC di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(2) yang diadakan dengan kerjasama Kidzania di sini, hari ini.

Bee Yin berkata, pihaknya mendapati antara faktor utama kurangnya minat pelajar mengambil aliran STEM kerana menganggap subjek seperti Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia sukar.

“Selain itu, pelajar tak nampak apa yang terkandung dalam buku teks subjek terbabit relevan dengan kehidupan seharian mereka sekarang atau pada masa depan, jadi bila kita bekerjasama dengan pihak swasta, kita laksanakan program yang dapat menimbulkan minat pelajar.

“Sekarang ini sasaran untuk memenuhi nisbah 60:40 aliran sains dan sastera di sekolah masih jauh dari sasaran, jadi kita perlu dipastikan setiap tahun ada peningkatan pelajar yang mengambil aliran STEM,” katanya.

Terdahulu, Bee Yin berkata, sehingga 26 September lalu, seramai 482,091 murid dan pelajar dari 1,526 sekolah telah mengikuti Program Pendidikan ESTECC dengan tumpuan utama kepada sekolah di kawasan luar bandar.

“Program ini akan dipergiatkan lagi sehingga hujung tahun 2019 bagi mencapai sasaran 1 juta pembabitan pelajar supaya lebih ramai mendapat manfaat,” katanya.

Program Pendidikan ESTECC bermula sejak Februari lalu, namun program dengan rakan strategik swasta yang diterajui Yayasan Hijau Malaysia bermula pada 1 Ogos 2019.

Berita Harian X