Jumaat, 27 September 2019 | 6:33pm
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir (tengah) mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (kiri) kepada pemberita pada sidang media khas selepas Bengkel Kerja dan Penyelarasan Penggabungan UniSZA dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sebuah hotel hari ini. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA Datuk Dr Muhammad Nur Manuty (dua, kiri), Pengerusi Lembaga Pengarah UMT Tan Sri Halim Mohammad (dua, kanan) dan Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (kanan). - Foto BERNAMA

Tidak ada sesiapa akan hilang pekerjaan

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) memberi jaminan tiada pemberhentian pekerja termasuk berstatus kontrak berikutan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata kakitangan universiti berkenaan tidak perlu bimbang mengenai kemungkinan hilang pekerjaan selepas penubuhan universiti baharu, kerana kerajaan akan memastikan penggabungan itu tidak menjejaskan mana-mana pihak.

Katanya, walaupun penggabungan itu menyebabkan pengecilan bilangan fakulti dan jabatan tertentu, ia tidak akan menyebabkan berlakunya proses pembuangan pekerja seperti yang berlaku dalam institusi lain seperti syarikat atau institusi kewangan.

“Ketika ini, ada lebih 900 kakitangan akademik di UniSZA dan lebih 600 di UMT dan jika digabungkan, kedua-duanya termasuk kakitangan bukan akademik, ia berjumlah lebih 3,000.

“Tidak ada sesiapa yang akan kehilangan pekerjaan. Semua dijamin akan ada pekerjaan termasuk pekerja kontrak. Penggabungan UMT dan UniSZA tidak akan menjejaskan mana-mana pihak,” katanya pada sidang media selepas Bengkel Penyelarasan Penggabungan UMT dan UniSZA di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi UMT, Tan Sri Dr Halim Mohamad; Pengerusi UniSZA, Datuk Dr Muhammad Nur Manuty; Naib Canselor UMT, Datuk Prof Dr Nor Aieni Mokhtar dan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Bengkel dua hari bermula semalam disertai oleh pengurusan tertinggi, lembaga pengarah, wakil pelajar dan kakitangan kedua-dua universiti bagi mengumpul input, isu, cabaran dan aspirasi dapatan inklusif bagi memenuhi keperluan penggabungan dua universiti itu.

Siti Hamisah berkata, universiti baharu yang akan diwujudkan melalui konsep penggabungan sepenuhnya UMT dan UniSZA itu akan memfokuskan empat bidang tujahan utama iaitu kelautan, pendidikan Islam dan sains, perubatan serta pengurusan perniagaan dan undang-undang.

Beliau berkata, gabungan empat bidang utama itu akan menjadi kekuatan kepada universiti untuk terus melonjak ke peringkat antarabangsa, sebagaimana dihasratkan oleh kerajaan melalui penggabungan itu.

Katanya, penggabungan itu tidak akan menghilangkan sebarang bidang tujahan dua universiti itu, yang mana fakulti yang mempunyai jajaran sama akan digabungkan, manakala yang tidak sama akan dikekalkan.

“Ia adalah penggabungan dua universiti melalui kekuatan yang mereka ada. UMT dengan bidang kelautan dan maritim manakala UniSZA dengan pengajian Islam dan perubatan.

“Dengan penggabungan ini juga kita akan lihat jika ada bidang disiplin yang boleh digabungkan atau bercambah daripada bidang sedia ada. Contohnya, mungkin bidang syariah digabungkan dengan perakaunan,” katanya.

Siti Hamisah berkata, penubuhan universiti baharu hasil penggabungan UMT dan UniSZA akan menggunakan kepakaran tempatan yang bertaraf antarabangsa, selain rujukan model universiti gabungan di luar negara.

“Kita memang ada melakukan rujukan model gabungan universiti di negara luar, tetapi kita mempunyai kepakaran tempatan bertaraf antarabangsa dan pensyarah yang mampu merangka model universiti baharu itu,” katanya.

Berita Harian X