Sabtu, 28 September 2019 | 9:41am
PROF Dr Shahrom Abd Wahid

Saksi pakar forensik, kimia gembira keputusan Muhammad Adib

SHAH ALAM: Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom yang juga saksi prosiding inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim menganggap keputusan semalam, satu kegembiraan untuk keluarga anggota bomba itu.

Prof Dr Shahrom Abd Wahid, iaitu saksi ke-29, berkata selepas mendapat berita berhubung keputusan Koroner Rofiah Mohamad pagi semalam, beliau sangat bersyukur kerana dapat membantu keluarga anggota itu mendapatkan hak keadilan.

“Saya berpendapat keputusan Mahkamah Koroner ini tepat,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz itu turut menerima ucapan tahniah dan penghargaan di laman sosial Facebook miliknya selepas memuat naik beberapa hujahan Koroner Rofiah Mohamad berhubung keputusan semalam berserta gambar Allahyarham Muhammad Adib.

Sementara itu, Pakar Fizik Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menjadi saksi ke-30, Dr Amir Radzi Ab Ghani, berkata beliau bertanggungjawab untuk memberi penerangan kepada mahkamah berhubung beberapa isu membabitkan teori fizik dan analisis kejuruteraan ketika dipanggil menjadi saksi.

Beliau turut menyifatkan mahkamah membuat keputusan tepat berdasarkan bukti yang dikemukakan sepanjang inkues.

“Saya memberi penerangan berkaitan teori fizik dan analisis kejuruteraan yang dikemukakan oleh dua orang saksi pakar iaitu Dr Hafizam ( Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur HKL, Dr Ahmad Hafizam Hasmi) dan Prof Shahrom.

“Jadi saya perlu membantu mahkamah berdasarkan pengalaman dan analisis dengan mengemukakan kesimpulan berdasarkan teori dua saksi pakar ini,” katanya.

Semalam, Mahkamah Koroner, memutuskan punca kematian Muhammad Adib, 24, berpunca akibat perbuatan jenayah oleh dua orang atau lebih individu yang tak dikenali.

Rofiah dalam hujahannya berkata, keterangan Prof Shahrom bahawa Muhammad Adib dihentak dan diseret keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) boleh diterima dan mempunyai asas selain formula yang digunakan dalam eksperimen berkenaan pengiraan daya yang menyebabkan kecederaan trauma tumpul di dada disokong keterangan Dr Amir Radzi.

Prosiding inkues berjalan selama 41 hari dan seramai 30 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk pakar serta 137 eksibit dikemukakan di mahkamah.

Berita Harian X