Sabtu, 28 September 2019 | 11:37am
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng.

RM120 juta rayuan BSH 2019 dibayar mulai Isnin

PUTRAJAYA: Rayuan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 sebanyak RM120 juta akan dibayar kepada hampir 220,000 penerima, mulai Isnin ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pembayaran itu membuktikan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), seterusnya memberi impak tinggi kepada rakyat.

Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan program BSH demi kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membantu golongan B40 meringankan kos sara hidup sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2019.

“Pembayaran rayuan BSH 2019 membabitkan hampir 220,000 penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM120 juta.

“Kerajaan sudah membelanjakan RM4.2 bilion yang disalurkan untuk keseluruhan fasa bayaran BSH 2019 (termasuk rayuan) kepada hampir 3.9 juta isi rumah yang diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, jumlah pembayaran turut mengambil kira kadar tambahan RM120 bagi setiap anak tanggungan, terhad kepada maksimum empat anak, membabitkan hampir 3.6 juta anak penerima BSH.

“Anak tanggungan itu juga merujuk kepada anak berumur 18 tahun ke bawah dan anak OKU (orang kurang upaya) tanpa had umur.

“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing menggunakan maklumat akaun bank yang didaftarkan ketika permohonan rayuan BSH 2019,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, penerima boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 atau e-mel kepada [email protected].

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X