Sabtu, 28 September 2019 | 3:19pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman.

Malaysia sasar RM50 bilion eksport produk, perkhidmatan halal pada 2020

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk mencapai eksport produk dan perkhidmatan halal sebanyak AS$12 bilion (RM50 bilion) pada 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sasaran itu boleh dicapai melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan dengan sektor swasta, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kita juga sudah merangka beberapa usaha dan program, terutama Pelan Induk Industri Halal (2008-2020), bagi mencapai matlamat menjadikan negara sebagai pemimpin global dalam inovasi, pengeluaran dan perdagangan sektor halal.

“Ketika ini, Malaysia melalui Taman Halal yang diiktiraf HALMAS, iaitu akreditasi diberi oleh Halal Industry Development Corporation (HDC), berjaya menarik pelaburan lebih RM13 bilion.

“Ia dijangka berkembang pesat selaras pertambahan penduduk Islam seluruh dunia yang kini mencapai 1.8 bilion orang,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Pesta Halal Sarajevo 2019 di Sarajevo, hari ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, di sini, Saifuddin Nasution bersama Pengerusi Majlis Menteri, Prof Dr Denis Zvizdic, serta Ahli Presidensi, Sefik Dzaferovic, turut menyaksikan pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) bernilai kira-kira 25 juta euro (RM115 juta) antara syarikat Malaysia dengan Bosnia dan Herzegovina pada majlis itu.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, hubungan dagang antara Malaysia dengan Bosnia dan Herzegovina bertambah baik dengan mencatatkan jumlah AS$1.7 juta (RM7 juta) pada 2017 membabitkan pertumbuhan besar sebanyak 179.9 peratus berbanding 2016.

“Pada 2017, eksport Malaysia ke Bosnia dan Herzegovina bernilai AS$881,373 (RM3.7 juta), manakala import pula berjumlah AS$786,214 (RM3.3 juta),” katanya.

Beliau berkata, antara eksport utama Malaysia ke Bosnia dan Herzegovina ialah produk elektrik dan elektronik, makanan olahan, produk getah, serta peralatan optik dan saintifik.

“Import utama kita pula ialah produk kimia, produk kayu, tekstil, pakaian, kasut serta produk elektrik dan elektronik,” katanya.

Beliau berkata, ada pelbagai bidang kerjasama boleh turut diterokai syarikat Malaysia dan Bosnia, seperti produk makanan (terutama yang halal), produk getah, produk elektrik dan elektronik, hospitaliti dan farmaseutikal, kosmetik, kewangan, pelancongan, e-perdagangan, logistik serta perkhidmatan lain.

Berita Harian X