Ahad, 29 September 2019 | 12:55pm

Kerajaan belum iktiraf UEC di Semenanjung Malaysia - Dr Maszlee

KLUANG: Kerajaan masih belum membuat keputusan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di Semenanjung Malaysia.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata ia berikutan kementeriannya buat masa ini masih menunggu laporan akhir Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC).

“Hasil laporan PPDUEC akan dibawa ke Kabinet sebelum keputusan sama ada untuk mengiktiraf UEC atau tidak akan diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih SPM dan STPM Sekolah Parlimen Simpang Renggam, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Abd Rahman Andak, Simpang Renggam, dekat sini, hari ini.

Pada Mac lalu, media melaporkan PPDUEC akan menyerahkan laporan akhir kajian pengiktirafan sijil itu kepada Kementerian Pendidikan, Julai lalu.

Maszlee dipetik sebagai berkata, laporan itu kemudian dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh yang belum ditetapkan.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan kerajaan negeri Sabah mengiktiraf UEC, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, berkata itu adalah hak negeri berkenaan.

“Itu adalah keputusan kerajaan negeri Sabah, ” katanya.

Malam tadi, kerajaan negeri Sabah dilaporkan mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan sektor perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata, cuma ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan untuk bukan hanya masuk universiti, tetapi masuk perkhidmatan awam negeri Sabah.

MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik bergambar bersama orang ramai pada majlis perasmian Program Sentuhan Kasih SPM dan STPM Sekolah Parlimen Simpang Renggam, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Abd Rahman Andak, Simpang Renggam, Kluang, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik bergambar bersama orang ramai pada majlis perasmian Program Sentuhan Kasih SPM dan STPM Sekolah Parlimen Simpang Renggam, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Abd Rahman Andak, Simpang Renggam, Kluang, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X