Isnin, 30 September 2019 | 9:01am

Ambil upah kopek ikan bilis sara keluarga

TUMPAT: Hampir empat bulan dalam setahun nelayan di Kelantan tidak turun ke laut khususnya pada musim tengkujuh, yang memaksa mereka mengambil upah melakukan pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup.

Mohd Rosul Abdul Rahman, 36, dari Kampung Pauh Seratus di sini, adalah anta ra nelayan yang terjejas akibat masalah itu.

Enggan berpeluk tubuh sepanjang tempoh berkenaan, nelayan pesisir pantai itu akan mengemudi bot sepanjang empat hingga lima batu nautika pinggir Pantai Geting untuk memasang bubu dan menjala.

Bagaimanapun, sejak bubu naga diharamkan, beliau mencari kerja sampingan lain bagi menyara isteri dan empat anaknya yang berusia antara enam sehingga 16 tahun.

Berikutan itu, beliau mengambil upah memunggah ikan untuk dijadikan ikan kering dengan bayaran RM20, namun pekerjaan itu bukan setiap hari dilakukan sebaliknya bergantung kepada stok bekalan.

“Saya juga bekerja di tempat memproses bilis dengan upah yang sama dan ia juga bergantung kepada bekalan bilis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Mohd Rosul berkata, hasil yang diperoleh daripada menjala pula sangat sedikit dan kadangkala hanya mampu dibawa balik sebagai lauk untuk mereka enam beranak.

“Bukan saya tidak mahu membeli bubu, tapi harganya mencecah ratusan ringgit, manalah saya mampu sedangkan bot pun hasil sumbangan daripada Program Azam Tani,” katanya.

Azura bersama Mohd Rosul mengambil upah mengopek ikan bilis bagi menampung perbelanjaan keluarga ketika ditemui di Kampung Pauh Seratus, Pantai Geting Tumpat. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Azura bersama Mohd Rosul mengambil upah mengopek ikan bilis bagi menampung perbelanjaan keluarga ketika ditemui di Kampung Pauh Seratus, Pantai Geting Tumpat. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Bagi membantu keluarga, isterinya, Azura Yaacob, 35, turut bekerja di tempat memproses bilis bersamanya dengan upah antara RM15 hingga RM30.

Bagaimanapun, Azura hanya dipanggil bekerja apabila bekalan bilis terlalu banyak, tambahan lagi tempat memproses itu sudah ramai pekerja. Ada kalanya beliau mengambil upah mengopek ikan bilis di rumah.

“Jika dicampur pendapatan kami berdua sekalipun, jumlahnya hanyalah cukup makan sedangkan dua anak kembar yang berusia 12 tahun masih bersekolah.

“Anak sulung kami terpaksa berhenti sekolah tahun lalu kerana kekangan kewangan dan kalau boleh kami tidak mahu melihat tiga lagi adiknya mengikut jejak,” kata Azura.

Bagi pasangan itu, mereka berharap kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan bagi membantu golongan sepertinya yang terpaksa mencari kerja lain sepanjang musim tengkujuh kerana tidak boleh turun ke laut.

Mereka juga berharap kerajaan dapat memberi bantuan untuk membeli bubu bagi membolehkan nelayan meningkatkan hasil tangkapan.

“Saya hanya mahir bekerja sebagai nelayan. Jadi, diharapkan kerajaan dapat menyediakan bantuan untuk membeli bubu yang agak mahal bagi kami serta bot kecil.

“Kerajaan juga boleh memberikan sedikit modal permulaan kepada nelayan yang tidak turun ke laut pada musim tengkujuh bagi menjalankan aktiviti lain dalam bidang sektor ini,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X