Isnin, 30 September 2019 | 9:04am

Isu ketidakseimbangan pembangunan jadi tumpuan

KUALA LUMPUR: Isu ketidakseimbangan pembangunan negeri dan wilayah serta kawasan bandar dengan pedalaman, antara perkara utama dalam perhatian kerajaan untuk ditangani bagi mewujudkan kemakmuran bersama dalam kalangan rakyat.

Kedah, Perlis dan Kelantan, Sabah dan Sarawak yang dikategorikan negeri miskin, jauh ketinggalan berbanding pembangunan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Johor, Pulau Pinang.

Begitu juga dengan jurang pendapatan golongan kaya dengan miskin serta di bandar dan di luar bandar yang semakin melebar walaupun isi rumah berada dalam kedudukan lebih baik.

Unjuran pendapatan antara kaum juga dilihat semakin melebar dengan jumlah pendapatan Bumiputera adalah 3.5 kali ganda lebih rendah berbanding kaum Cina, bagi purata Malaysia 2016.

Laporan Keadaan Isi Rumah 2018 bertajuk ‘Realiti Berbeza’ oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendedahkan isi rumah di Malaysia berkedudukan lebih baik berbanding generasi sebelumnya, tetapi wujud jurang pendapatan dan pekerjaan yang perlu diatasi.

Justeru, Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 yang akan dilancarkan kerajaan Pakatan Harapan minggu ini selepas 17 bulan mengambil alih pentadbiran negara, akan memfokus kepada usaha merapatkan jurang pembangunan, pendapatan antara negeri, golongan kaya dengan miskin serta bandar dan luar.

Pakar ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata jurang pendapatan antara golongan T20 dan B40 merekodkan peningkatan kepada RM10,148 berbanding RM8,981 pada purata Malaysia 2016.

Pakar ekonomi UKM, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Golongan T20 pula menikmati peningkatan median pendapatan paling tinggi iaitu RM1,538 berbanding hanya RM371 bagi B40 dan M40 (RM792) bagi tempoh sama. Jurang pendapatan antara kaum pula menunjukkan Bumiputera memperoleh median hasil paling sedikit, iaitu RM6,267 berbanding India (RM7,150) dan Cina (RM8,750).

“Keadaan akan menjadi lebih buruk, jika (jurang pendapatan) tidak diperincikan atau kerajaan menggunakan dasar kurang tepat dalam menangani perkara ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui jurang pendapatan tidak boleh dihapuskan secara menyeluruh kerana tiada negara di dunia yang tidak berdepan situasi berkenaan.

Noor Azlan berkata, ketidakseimbangan pembangunan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah jelas dilihat apabila kebanyakannya berada pada paras pendapatan RM5,228 ke bawah, bagi purata Malaysia 2016.

Ia berbeza dengan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Melaka yang mencatatkan pembangunan melebihi paras pendapatan RM5,228 bagi tempoh sama.

“Bagaimanapun, jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar tidak terlalu ketara, masing-masing RM5,860 bagi penduduk di bandar, manakala RM3,471 di pedalaman,” katanya.

Bagi menangani masalah itu, beliau berkata kerajaan perlu mewujudkan peluang memajukan diri, termasuk aspek kesihatan dan kemudahan asas yang boleh diakses semua pihak.

“Kerajaan juga perlu menyediakan latihan dan ilmu terbaik selain membuka ruang kepada kumpulan kecil, terpinggir serta baharu secara afirmatif dan bersasar.

“Kerajaan perlu memperbanyak dan merancakkan rancangan pembangunan seperti Lima Koridor Pembangunan bagi memastikan jurang (pendapatan) antara bandar dan luar dapat dikecilkan,” katanya.

Bantuan Sara Hidup (BSH) pula perlu dikhususkan bagi membantu B40 dengan pengagihannya wajar dikaji semula bagi disesuaikan dengan kedudukan geografi, jumlah tanggungan dan umur.

“BSH perlu diagihkan secara bersasar bagi mengelak ketirisan. Ini kerana, pendapatan RM3,000 di kawasan pedalaman boleh dikategorikan sebagai besar berbanding di bandar.

“Bagaimanapun, BSH tidak sesuai diberikan kepada M40. Mereka wajar diberikan pengecualian cukai bagi yuran dan perkhidmatan tertentu bagi meningkatkan pendapatan boleh guna dan kuasa beli,” katanya.

Pakar ekonomi, Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin, pula berkata, Bumiputera paling ramai berada di dalam kelompok berpendapatan B40 yang menyebabkan mereka terus bergantung kepada subsidi.

Pakar ekonomi, Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin.

Katanya, rancangan meningkatkan pendapatan Bumiputera serba tidak menjadi walaupun pada 2015 sudah menunjukkan peningkatan sebelum menurun semula pada akhir tahun sama.

“Bumiputera tidak mendapat sokongan dan tiada sinergi sepenuhnya. Jika ada yang membantu hanya subsidi dan program sokongan kerajaan. Tetapi sokongan ini dirosakkan akibat perasaan tidak seronok pihak lain yang menyebabkan mereka kembali ke takuk lama,” katanya.

Amir Hussin berkata, masalah kemiskinan masyarakat Bumiputera jelas dapat dilihat di lima negeri termiskin yang turut ketinggalan dalam aspek pembangunan.

“Masalah di negeri itu adalah bandarnya tidak berfungsi. Kelantan masih bergantung kepada ekonomi di Pantai Barat seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam. Begitu juga Kedah dan Perlis.

“Secara teorinya, kita perlu wujudkan ‘Petaling Jaya baharu’ atau bandar satelit di utara, Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Aktiviti ekonomi yang berlaku di bandar besar akan meningkatkan pendapatan rakyat.

“Ini tidak, apa sahaja balik-balik Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam yang mendapat. Ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia tertumpu ke kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan tidak seimbang dengan pelbagai infrastruktur hanya di bandar tertentu menyebabkan negeri lain terkesan.

“Lihat Pulau Pinang, kita seolah-olah menyuruh penduduk Perlis dan Kedah berpindah ke Pulau Pinang kerana lambakan infrastruktur di sana sedangkan yang memerlukan infrastruktur di Kedah dan Perlis,” katanya.

Katanya, sepatutnya apa yang ditawarkan di bandar besar perlu juga ditawarkan di bandar di negeri yang dikategorikan miskin.

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah, Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur, berkata Sabah dan Sarawak mampu mencapai pendapatan perkapita tertinggi di Malaysia jika dibekalkan prasarana lengkap seperti negeri lain kerana kaya sumber alam.

Justeru, katanya, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif, termasuk mewujudkan dasar ekonomi lebih sesuai, menyediakan agihan belanjawan yang adil dan saksama.

Berita Harian X