Isnin, 30 September 2019 | 1:57pm
KETUA Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

MOA kaji semula kuota bekalan benih padi

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mengkaji atau menarik semula pemberian kuota kepada syarikat yang gagal membekalkan benih padi kepada petani di seluruh negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan, berkata tindakan itu akan dilakukan selepas kementerian membuat penilaian teknikal terhadap semua syarikat pembekal benih padi di seluruh negara, tidak lama lagi.

“Masalah kekurangan bekalan benih ini biasa berlaku, ...jadi kita mungkin mengkaji atau menarik semula kuota kepada syarikat pembekal yang gagal bagi memastikan ia tidak berulang,” katanya selepas Majlis Konvensyen Pertanian Kesembilan disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, di sini.

Mohd Sallehuddin berkata, MOA juga memberi jaminan bahawa masalah kekurangan bekalan benih padi dihadapi petani di Perak akan selesai sepenuhnya menjelang hujung minggu ini.

Setiap tahun pesawah seluruh negara memerlukan 75,000 tan metrik benih padi.

Mohd Sallehuddin berkata, sebenarnya bekalan benih mencukupi namun masalah timbul apabila ada dalam kalangan pembekal gagal membekalkan kira-kira 2,500 tan metrik benih padi mengikut kuota yang diberikan MOA.

Justeru, beliau berkata, MOA akan memberikan kuota kepada pembekal lain untuk membekalkan benih padi berkenaan kepada petani selepas mendapat kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) beberapa hari lagi.

“Bekalan memang ada cuma kena ambik kuota benih tempat lain untuk diagihkan kepada lokasi berkenaan. Itulah sebabnya saya sudah berhubung dengan MOF supaya mereka mempercepatkan kelulusan kuota tambahan,” katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan lebih 4,000 pesawah di Bagan Serai, Perak bimbang tidak dapat memulakan musim penanaman padi berikutan kesukaran mendapat benih padi sah daripada pembekal.

Ketua Unit Peladang Parit Haji, Muslan Mohd Napiah, yang membangkitkan mengenai isu itu berkata, ia disebabkan sembilan syarikat pembekal terbabit belum menerima kuota tambahan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membekalkan benih padi sah kepada pesawah, khususnya di Bagan Serai.

Susulan isu terbabit, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, dilaporkan berkata akan menyerahkan satu memorandum khas kepada Salahuddin, selain mencadangkan supaya beberapa lagi kilang membekal benih padi dibina bagi mengatasi masalah terbabit.

Berita Harian X