Isnin, 30 September 2019 | 2:02pm
PENGERUSI LTAT, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi
PENGERUSI LTAT, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

LTAT umum dividen dua peratus

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan dividen dua peratus untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 2018, dengan jumlah agihan RM161.2 juta.

Dividen berkenaan akan diagihkan pada ahli, minggu ini.

Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin, berkata pendapatan bersih (belum diaudit) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 bagi LTAT adalah RM221 juta.

Katanya, ia adalah penurunan ketara sebanyak 51.9 peratus berbanding pendapatan bersih yang dinyatakan semula sebanyak RM459.5 bagi tahun kewangan 2017.

“Penurunan ketara pendapatan LTAT bagi tahun kewangan 2018 disebabkan pelbagai faktor sejak dua tahun kewangan lalu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed.

Mohd Zahidi berkata, LTAT kini berada di bawah pengurusan baharu dan percaya pelan transformasi akan meletakkan LTAT dalam kedudukan yang lebih baik bagi memanfaatkan peluang pelaburan yang menguntungkan, seterusnya memberikan nilai terbaik kepada ahli.

Sementara itu, Nik Amlizan berkata, LTAT sudah memulakan pelan transformasi bagi tempoh lima tahun merangkumi enam teras utama.

Katanya, enam teras itu adalah visi dan misi baharu, memperkukuh tadbir urus korporat, mempertingkat pengurusan pemegang berkepentingan strategik, meningkatkan pulangan pelaburan yang mampan, memperbaiki infrastruktur dan membina pengurusan bakat.

Pada tahun lalu, LTAT mengumumkan dividen sebanyak 12.5 peratus untuk ahlinya. Bagaimanapun, dividen itu dilaporkan berlebihan berbanding pendapatan yang diperoleh lembaga itu.

Khamis lalu, laporan audit oleh firma audit Ernst & Young (EY) ke atas LTAT mendapati wujud pelbagai ketidakpatuhan dan kelemahan tadbir urus kewangan dalam lembaga itu.

LTAT dalam kenyataannya berkata, EY yang menjalankan semakan dan menentukan gambaran kedudukan sebenar LTAT bagi tahun kewangan (TK) berakhir 31 Disember 2017 dan 31 Disember 2018, menyatakan terdapat tujuh aspek ketidakpatuhan dan kelemahan tadbir urus kewangan yang ketara.

Berita Harian X