Isnin, 30 September 2019 | 10:26pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) meninjau keadaan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling semasa mengadakan lawatan ke tapak itu. - Foto ihsan KPKT
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) meninjau keadaan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling semasa mengadakan lawatan ke tapak itu. - Foto ihsan KPKT

Kilang kitar semula beroperasi secara haram akan diroboh

SUNGAI PETANI: Kerajaan akan merobohkan kilang kitar semula di sekitar daerah ini sekiranya terus beroperasi secara haram, selepas disita kerajaan negeri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata kilang kitar semula berkenaan yang disita sebelum ini sebenarnya diberi masa untuk dibersihkan.

“Kita sudah mengeluarkan arahan kilang haram ini perlu ditutup dan kita beri mereka tempoh untuk selesaikan sampah mereka, kalau tak kita akan roboh kilang berkenaan.

“Seterusnya tindakan mahkamah akan diambil terhadap mereka dengan tindakan lebih tegas,” katanya ketika ditemui ketika melawat Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew.

Zuraida berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan menaikkan jumlah denda sekurang-kurangnya RM50,000 berbanding maksimum RM2,000 ketika ini ke atas pihak industri yang melanggar undang-undang ditetapkan.

Sementara itu, Kok Yew berkata, sejak April lalu, sebanyak 17 kilang plastik kitar semula dikenal pasti beroperasi tanpa permohonan.

“Daripada itu, sebanyak enam kilang sudah ditutup, empat dalam proses tutup, manakala tujuh kilang lagi kita akan buat susulan untuk menutup kilang terbabit.

“Bagaimanapun, kita berhadapan kekangan dalam mengambil tindakan ke atas kilang berkenaan berikutan pelbagai agensi mempunyai undang-undang yang berlainan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sudah meminta bantuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membantu menghentikan kemasukan bahan kitar semula dari pelabuhan.

“Kita percaya JKDM sudah melakukan yang terbaik dengan menyiasat semua barangan yang masuk.

“Namun, kita tak boleh halang import sisa plastik untuk kegunaan industri seperti membuat televisyen dan sebagainya kerana kita membenarkannya beroperasi,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X