Selasa, 1 Oktober 2019 | 3:03pm

Pengurusan foodpanda sedia nilai semula keputusan

KUALA LUMPUR: Pengurusan syarikat penghantaran makanan dalam talian, foodpanda, memberi komitmen untuk menilai semula keputusan syarikat itu jika ia mendatangkan kesan buruk kepada pekerjanya.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam pertemuan dengan pihak pengurusan syarikat terbabit, pagi tadi.

Beliau berkata, antara perkara dibangkitkan menyentuh isu kebajikan pekerja penghantaran makanan syarikat itu.

“Saya bangkitkan isu kelangsungan hidup pekerja penghantaran terutama selepas pelaksanaan skim pembayaran baharu.

“Mengapa wujud skim pembayaran berbeza untuk Lembah Klang dan kawasan lain seperti Johor, Pulau Pinang dan negeri lain,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya, hari ini.

Syed Saddiq turut membangkitkan persoalan mengenai kebajikan pekerja penghantaran itu jika skim baharu dibuat berdasarkan tempahan.

“Apa pelan kedua jika keadaan cuaca seperti hujan lebat, jerebu dan sebagainya yang akan memberi kesan kepada tempahan,” katanya.

Isu pekerja foodpanda tercetus selepas beberapa video dan foto tersebar semalam, antara lain menunjukkan pekerja syarikat penghantar makanan melancarkan mogok susulan pengenalan kadar baharu bayaran untuk pekerja.

Perkara itu mendapat perhatian Syed Saddiq dan mengatur sesi dialog bersama kakitangan foodpanda yang dijadual berlangsung jam 9.30 malam ini kediamannya di Petaling Jaya.

Berita Harian X